515 individu ingkar PKPP ditahan

Isabelle Leong
Ogos 24, 2020 08:57 MYT
ISMAIL SABRI: Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 58,185 pemeriksaan semalam (Ahad, 23 Ogos) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP. - gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 515 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 440 individu dikenakan kompaun dan 68 lagi direman.
"Antara kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (18), tidak memakai pelitup muka (17), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (252), premis beroperasi lebih masa (10), premis tanpa lesen (2), aktiviti perjudian (7) dan gagal lunaskan bayaran kompaun (2),” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Dalam pada itu, katanya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 58,185 pemeriksaan semalam (Ahad, 23 Ogos) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.
BACA: 515 ditahan ingkar PKPP, ini lima fokus utama kenyataan media PKPP
“Sebanyak 4,929 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 16,863 anggota telah membuat pemantauan di 4,134 pasar raya, 5,083 restoran serta 1,370 penjaja, 1,651 kilang, 3,780 bank dan 853 pejabat kerajaan.
“Juga dipantau, sebanyak 1,074 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air serta 104 terminal pengangkutan udara,” katanya.
Tambahnya, PDRM juga telah mengadakan 52 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 29,777 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.,” katanya.
Berhubung Op Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 9,694 operasi sanitasi merangkumi 134 zon.
"Sebanyak 12,847 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,700 pusat perniagaan, 1,595 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,560 tempat awam dan 354 pasar raya," kata beliau.
Pada Ahad, 6 operasi sanitasi meliputi 6 Zon termasuk yang melibatkan 4 buah negeri iaitu Sabah (2 operasi), Kedah (2 operasi), Pahang (1 operasi) dan Perak (1 operasi).
"Operasi sanitasi ini melibatkan 14 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 468 dari agensi-agensi lain.
“2 jentera JBPM turut terlibat dalam Operasi Sanitasi Awam," tambahnya.
#ditahan #ingkar #ismail sabri yaakob #kompaun #PDRM #PKPP #Task Force Operasi Pematuhan