51 rakyat Malaysia terkandas di Mesir pulang menaiki pesawat kerajaan Brunei
Umavathi Ramayah
Mac 27, 2020 13:02 MYT
Mac 27, 2020 13:02 MYT
Kerajaan Brunei bersetuju untuk membawa 51 rakyat Malaysia yang terkandas di Kaherah, Mesir menaiki pesawat persendirian kerajaan itu, Sabtu ini.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar memberitahu, penerbangan itu dijangka tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei pada hari Ahad ini, pukul 8.40 pagi.
"Ini bermakna rakyat Malaysia yang terkandas di Kaherah, Mesir akan menaiki pesawat kerajaan Brunei dari Mesir ke Brunei dulu sebelum diatur pulang ke Malaysia.
"Bagi memastikan perkara ini berjalan dengan lancar, Wisma Putra menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah sedang berkomunikasi rapat dengan pihak Kedutaan Besar Brunei di Kaherah mengenai misi repatriasi ini," katanya dalam sidang akhbar, di sini pada Jumaat.
Kamarudin menjelaskan, namunn demikian, disebabkan kapasiti penerbangan kerajaan Brunei yang terhad, hanya 51 daripada keseluruhan 86 rakyat Malaysia yang terkandas dapat menaiki penerbangan tersebut.
Dalam situasi ini, katanya, keutamaan diberikan kepada warga emas dan pelancong rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air.
"Bagi pihak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, patik menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar
‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas perkenan kebenaran rakyat Malaysia untuk turut serta pulang menaiki pesawat kerajaan Brunei," katanya.
Dalam perkembangan lain, Kamarudin memberitahu, sebanyak 162 pelancong rakyat Malaysia yang terkandas di Ho Chi Minh, Vietnam selamat tiba di tanah air pada Khamis menaiki pesawat Malaysia Airlines.
#Brunei
#COVID19
#Kamarudin Jaffar
#Malaysia Airlines
#pelancong
#Perdana Menteri
#Putrajaya
#rakyat Malaysia
#Vietnam
#warga emas
#Yang di-Pertuan Agong