51 pelajar Kolej Profesional Mara keracunan makanan

Sinar Harian
Ogos 17, 2024 13:08 MYT
KKM terpaksa mengambil keputusan untuk menutup operasi kesemua kafe bagi tujuan pembersihan atau sanitasi bagi memutuskan rantaian keracunan. -Gambar hiasan
MELAKA: Seramai 51 penuntut Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek, Tiang Dua dekat sini dilaporkan mengalami keracunan makanan sejak Khamis lalu.
Kejadian dipercayai berlaku selepas pelajar berkenaan menikmati sajian di tujuh kafe di institusi terbabit
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, pelajar terbabit telah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di Hospital Jasin dan Klinik Kesihatan Ayer Molek.
Bagaimanapun katanya, seorang daripada pelajar telah dimasukkan ke wad setelah dibawa oleh bapanya ke hospital terbabit bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, pelajar mengadu mengalami gejala keracunan makanan sejak Khamis dan situasi itu berterusan sehingga Jumaat menyebabkan penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir bagi membuat pemeriksaan serta siasatan ke atas pelajar.
"Pelajar mengadu sakit perut, muntah, cirit-birit serta demam dan pihak 'felow' telah membawa pelajar ke Hospital Jasin.
"Seramai 51 pelajar terlibat membabitkan 36 perempuan dan 5 lelaki. Mereka telah dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Jasin dan Klinik Kesihatan Ayer Molek,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.
Difahamkan antara menu yang dijual di kafe terlibat adalah nasi campur, nasi ayam dan pelbagai jenis makanan barat termasuk carbonara serta spageti.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, kesemua kafe yang terdapat di kolej terbabit diarahkan ditutup serta-merta selama dua minggu bermula jam 6.30 petang pada Jumaat.
"Setakat ini tiada punca spesifik yang dapat dikenal pasti dan semua pelajar terlibat mengatakan mereka makan pelbagai menu daripada kesemua kafe yang beroperasi.
“Oleh demikian, KKM terpaksa mengambil keputusan untuk menutup operasi kesemua kafe bagi tujuan pembersihan atau sanitasi bagi memutuskan rantaian keracunan," katanya
Beliau berkata, pihak kolej juga akan membawa vendor luar untuk keperluan makan dan minum pelajar yang berada di asrama yang dianggarkan seramai 390 pelajar bagi pelaksanaan program Advance Creative Entrepreneurship Challenge (ACE) yang berlangsung sehingga Ahad. -Sinar Harian
#keracunan makanan #pelajar Kolej Profesional Mara #muntah #cirit-birit