51 kes dalam perhatian Lembaga Pencegahan Jenayah

Wan Syamsul Amly
April 14, 2014 21:24 MYT
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. --AstroAWANI
Lembaga Pencegahan Jenayah yang memulakan tugas 2 April lalu kini mengkaji 51 kes berkaitan jenayah terancang di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pesalah berdepan tindakan tahanan dua tahun atau diletakkan di bawah kawalan pemantauan dengan memakai peranti pemantauan elektronik (EMD)
"Lembaga Pencegahan Jenayah itu diwakili seorang pengerusi dan empat anggota lembaga yang diperkenan Yang Di Pertuan Agong sendiri.
"Kita juga lakukan saringan kepada 70 orang penjenayah yang dikategorikan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) ini sekali gus menjadikan keseriusan kerajaan tidak menunggu waktu lama untuk melaksanakannya,'' katanya.
Dr Ahmad Zahid berkata demikian semasa sidang media selepas hadir sebagai speaker Forum Putrajaya bagi sesi 1 dengan topik `Transnational organized crime in Asia'.
Forum itu diadakan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 yang berlangsung selama empat hari berakhir 17 April ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, (PWTC) di sini.
Sebelum ini, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu POCA (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, khusus untuk membanteras jenayah terancang dan berat akan dikuatkuasakan pada 2 April.
Selain bukti kerajaan komited membanteras aktiviti jenayah, akta yang akan diwartakan itu bertujuan memastikan usaha pencegahan dapat dilakukan segera.
Ia sekali gus bagi memerangi dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan atas kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam atau pencegahan jenayah.
Dalam pada itu kata Dr. Ahmad Zahid, kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Agensi Polis Antarabangsa (INTERPOL) menjadi salah satu aset keselamatan negara yang menggunakan perkongsian maklumat yang merentasi sempadan dunia.
Dalam perkembangan lain, Zahid turut menafikan penglibatan negara sebagai lokasi transit pemerdagangan manusia.
#Ahmad Zahid Hamidi #akta pencegahan jenayah #EMD #Lembaga Pencegahan Jenayah #PDRM #POCA
;