51 individu diberkas, terlibat sindiket judi bola sepak Euro 2020 bernilai lebih RM19 juta
Astro Awani
Jun 28, 2021 14:58 MYT
Jun 28, 2021 14:58 MYT
JOHOR BAHRU: Sindiket pertaruhan judi bola sepak UEFA Euro 2020 secara dalam talian bernilai RM19.44 juta yang beroperasi dari luar negara tumpas menerusi 40 serbuan di sekitar Johor Bahru.
Dalam serbuan pada 10 hingga 26 Jun lepas itu, seramai 51 individu dipercayai ejen dan bookie sindiket telah ditahan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bermula 10 Jun hingga Sabtu lalu, pihaknya telah melancarkan Op Soga Vlll bagi membanteras sindiket pertaruhan judi bola sepak di neger itu.
Sindiket tersebut melibatkan pertaruhan secara dalam talian melalui aplikasi WeChat, WhatsApp dan Telegram membabitkan 20 laman web dari luar negara.
Katanya, kesemua suspek warga tempatan yang ditahan berusia antara 18 hingga 54 tahun.
“Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor telah membuat 40 serbuan dan pemeriksaan dan seramai 51 individu telah ditangkap dipercayai terlibat - sama ada sebagai ejen ataupun bookie kepada sindiket pertaruhan.
“Semua yang ditangkap adalah warga tempatan berumur antara 18 tahun hingga 45 tahun. Jumlah nilai pertaruhan dari sindiket ini adalah sebanyak RM19 juta dan wang tunai yang dirampas berjumlah RM35,112.
“Lain-lain peralatan yang dirampas adalah 71 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 67 keping kad sim, 15 helai kertas catatan rekod pertaruhan, dua jadual perlawanan UEFA EURO dan empat komputer riba,” ujar Ayob dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Kesemua suspek yang ditahan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Katanya, kesemua individu terbabit ditahan reman antara dua hingga empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pertaruhan judi seumpama itu diseru menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677.
#judi
#sindiket pertaruhan
#polis
#PDRM
#eufa
#Euro 2020
#judi bola sepak
#ketua polis johor
#ayob khan mydin pitchay
#polis johor