500 unit rumah sewa khas dibina di Pulau Pinang
Bernama
September 19, 2023 20:43 MYT
September 19, 2023 20:43 MYT
GEORGE TOWN: Sebanyak 500 unit rumah Skim Perumahan Sewa Khas bagi golongan belia yang telah berkeluarga dan bujang akan dibina melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Giam, Jelutong di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S.Sundarajoo berkata pembangunan akan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di kawasan seluas 0.81 hektar.
"Projek akan dilaksanakan dengan peruntukan RM100 juta yang telah diluluskan menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT pada 23 Jun, membabitkan 2 blok yang dijangka bermula dalam masa terdekat dan mengambil masa hingga 36 bulan.
"Reka bentuk bangunan telah ada, manakala penetapan dasar dan syarat-syarat penawaran ke atas unit bujang dan belia ini akan diangkat untuk kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sundarajoo berkata projek itu membabitkan satu blok 45 tingkat berkeluasan 500 kaki persegi sebagai unit studio satu bilik untuk ditawarkan kepada kategori pemohon bujang manakala blok 44 tingkat berkeluasan 700 kaki persegi dengan tiga bilik kepada kategori pemohon belia berkeluarga.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan Pulau Pinang akan mewujudkan satu kategori baharu di bawah Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis B2 bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri itu mampu memiliki rumah sendiri.
"RMM B2 itu akan ditawarkan pada harga maksimum RM100,000 untuk rumah berkeluasan 750 kaki persegi dengan had pendapatan isi rumah bulanan pada kadar RM5,000. Perkara itu akan dibentang di peringkat Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) sebelum skim itu sedia diperkenalkan kepada rakyat," katanya.
Menurut Sundarajoo sebelum ini kerajaan negeri mempunyai skim RMM B1 dengan harga maksimum yang ditawarkan untuk satu unit rumah berkeluasan 700 kaki persegi adalah RM72,500 dengan had pendapatan isi rumah bulanan RM3,500.
''Namun, kita dapati ada golongan muda yang baharu tamat pengajian dan mempunyai pendapatan bulanan sekitar RM5,000, jadi mereka ini tidak dapat peluang membeli rumah menerusi skim RMM B1 kerana pendapatan mereka lebih daripada RM3,500,'' katanya.
Beliau berkata Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) melancarkan kempen untuk menggalakkan pemohon supaya mengemas kini data dalam Sistem Maklumat Perumahan (SMP) bagi membolehkan proses penawaran dibuat.
Katanya sebanyak 43,260 data pemohonan bagi RMM A, B dan C berada dalam sistem pangkalan data melalui SMP setakat 31 Ogos dan ada dalam kalangan mereka tidak mengemas kini maklumat sejak 1999.
"Setakat 31 Ogos, hanya 7,686 sahaja pemohon yang mengemas kini dan dikategorikan sebagai pemohon aktif. Pengemaskinian itu merupakan merit yang digunakan untuk menjadikan pendaftaraan dalam SMP kekal aktif dan dijadikan kekananan pemilihan penawaran," katanya.
-- BERNAMA