500 unit Rumah Malaysia akan dibina di Pahang - Zuraida

Bernama
Februari 20, 2021 23:55 MYT
Zuraida berkata ia merupakan antara 11 projek Rumah Malaysia yang melibatkan pembinaan di seluruh negara. - Foto BERNAMA
KUANTAN: Sebanyak 500 unit Rumah Malaysia dirancang dibina di Lanchang, kira-kira 140 kilometer dari sini, pada tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata ia merupakan antara 11 projek Rumah Malaysia yang melibatkan pembinaan di seluruh negara.
"Terdapat juga permintaan daripada kerajaan negeri yang mencadangkan tanah yang dapat kita pertimbangkan untuk projek perumahan seterusnya dan saya akan bincang perkara ini dengan Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) nanti," katanya kepada pemberita selepas melawat Perumahan Rakyat Makmur Gambang Jaya 2 di sini hari ini.
Semalam, Zuraida dilaporkan berkata Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dinaik taraf sebagai Rumah Malaysia bermula tahun ini dan keluasan rumah ditambah kepada 900 kaki persegi berbanding 700 pada masa ini.
Menurut laporan itu, sebanyak 11 projek Rumah Malaysia membabitkan 4,120 unit akan dibina di seluruh negara dengan tiga daripadanya di Johor iaitu di Kluang, Sembrong dan Pengerang.
Kesemua projek masih dalam proses tender.
Zuraida juga berkata pihaknya akan melancarkan kempen 1Rumah 1Alat Pemadam Api (1RAPI) pada bulan depan dalam usaha mendidik masyarakat supaya lebih peka dengan isu kebakaran.
"Bagi memupuk kesedaran masyarakat juga, kemungkinan pada masa depan iaitu dalam masa setahun, kita akan wajibkan pemaju untuk lengkapkan kawasan perumahan dengan alat pemadam api setiap rumah.
"Kos akan ditanggung pemaju, mungkin pemaju boleh laksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat mereka," katanya.
-- BERNAMA
#Rumah Malaysia #Lanchang #Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan #Zuraida Kamaruddin #PPR
;