500 syarikat disyaki tipu bida libatkan tender kerajaan berjumlah RM2 bilion - MyCC

Fareez Azman
Disember 13, 2021 15:42 MYT
Iskandar berkata, pindaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 yang akan dipinda di Parlimen tahun depan, dapat memberikan lebih kuasa buat suruhanjaya itu dalam menghapuskan kartel.- Foto: MyCC
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat lebih 500 buah syarikat yang disyaki membuat tipuan bidaan melibatkan tender kerajaan berjumlah lebih RM2 bilion.
Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail dalam sidang media selepas pelancaran Pelan Strategik MyCC 2021-2025 di ibu negara pada Isnin.
"Kami tak lakukan tangkapan... kami bukan macam polis, kami badan separa kehakiman. Kami siasat dan sendiri putuskan sama ada mereka melanggar undang-undang tersebut.
"Jadi kami sekarang (sedang siasat) isu tipuan bida. Kami menyiasat lebih 500 syarikat disyaki membuat tipuan bida melibatkan tender kerajaan lebih RM2 bilion.
"Kami juga menyiasat beberapa pemain di sektor logistik pelabuhan dan sebagainya. Banyak kami sedang menyiasat... (termasuk) kami siasat syarikat dalam kartel," jelasnya.
Ujar Iskandar, tindakan yang diambil hanya denda 10 peratus daripada jumlah penipuan bidaan terbabit.
BACA: Hapuskan isu kartel, dua akta persaingan akan dipinda tahun depan - Rosol Wahid
Bagaimanapun menerusi pindaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 yang akan dipinda di Parlimen tahun depan, jelasnya ia dapat memberikan lebih kuasa buat suruhanjaya itu dalam menghapuskan kartel.
"Kalau MyCC kita siasat dan putuskan sama ada kartel (terlibat), kita denda mereka. Denda 10 peratus kalau dia buat daripada kartel RM10 juta, kita denda dia RM1 juta.
"(Pindaan akta ini) Memberi lagi kuasa yang menyeluruh contohnya siasatan itu kami ada lagi kuasa (supaya) senang nak rampas data dan sebagainya.
"Sekarang ni ada, tapi terhad dalam beberapa bahagian (undang-undang)," jelasnya lagi.
Mengulas mengenai kenaikan harga sayur-sayuran tambah Iskandar lagi, tiada aduan diterima pihaknya sehingga kini.
Bagaimanapun, kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) terus dijalankan bagi memastikan tidak wujud kartel dalam pasaran.
"(Kenaikan harga sayuran) Ada unsur itu, tetapi sampai sekarang kami hairan, tidak sampai aduan.
"Isu-isu kartel dalam kenaikan sayur-sayuran serta berkaitan dengan kartel tidak sampai kepada kami," katanya lagi.
#kartel perniagaan #undang-undang #MyCC #Akta Persaingan 2010
;