500 sukarelawan UMK siap sedia digerakkan bantu mangsa banjir

Bernama
Disember 14, 2022 12:37 MYT
Razli berkata, sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar itu akan melakukan beberapa penugasan semasa dan selepas banjir dengan dibantu agensi berkaitan. - Facebook Universiti Malaysia Kelantan
KOTA BHARU: Seramai 500 sukarelawan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersiap sedia menyertai Misi Bantuan Banjir bagi membantu mangsa banjir yang terkesan dengan musibah itu di negeri-negeri terjejas banjir di seluruh negara.
Naib Canselor UMK Prof Datuk Razli Che Razak berkata sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar itu akan melakukan beberapa penugasan semasa dan selepas banjir dengan dibantu agensi berkaitan seperti polis dan bomba.
"Rata-rata sukarelawan ini merupakan pelajar yang telah mengikuti aktiviti kokurikulum badan unit uniform di UMK dan mereka telah dilatih dan diberi tunjuk ajar untuk menghadapi sebarang bencana alam.
"Hal ini kerana salah satu teras dalam Kementerian Pengajian Tinggi adalah setiap universiti mesti perlu bersama dengan komuniti masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Malam Media UMK 2022, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Razli berkata pihaknya juga turut memberi rawatan kesihatan sekiranya diperlukan mangsa banjir serta mengadakan sesi kaunseling untuk menangani masalah yang dihadapi mereka.
"Sukarelawan kita bukan sahaja membantu mangsa banjir di Kelantan, malah pernah terlibat dalam beberapa misi bantuan banjir di Pahang serta Selangor dengan fokus utama kita adalah pemulihan pascabanjir," katanya.
Pada majlis tersebut, Bernama Biro Kelantan berjaya meraih Anugerah Media Sosial Terbaik dengan membawa pulang sijil, cenderamata dan baucar makanan.
-- BERNAMA
#banjir #sukarelawan #UMK #mangsa banjir
;