500 penunggang motosikal di Balok terima petrol percuma

Sinar Harian
Oktober 23, 2022 08:40 MYT
Hasif Upin (tengah) bersalaman dan beramah mesra dengan penunggang motosikal pada program minyak petrol percuma di sebuah stesen minyak di Balok di sini pada Sabtu. -Foto Sinar Harian
KUANTAN: Lebih 500 penunggang motosikal yang merupakan penduduk di sekitar Balok menerima sumbangan minyak petrol percuma di sebuah stesen minyak di sini pada Sabtu.
Tiktokers terkenal, Muhammad Hasif Sharauddin atau lebih dikenali dengan nama Hasif Upin berkata, sumbangan itu bagi membantu komuniti setempat yang terkesan dengan kenaikan kos hidup ketika ini.
"Saya berharap sumbangan ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan mengurangkan beban mereka tanpa perlu mengisi minyak untuk beberapa hari akan datang.
“Saya memang gemar berkongsi video kandungan yang berunsur kebajikan kepada pengikut agar ia dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk prihatin dengan masalah orang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Program Minyak Motosikal Percuma itu disertai bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang ketika itu melakukan lawatan di kawasan sekitar.
Sementara itu, Saifuddin memuji insiatif dilakukan Hasif Upin yang prihatin dan memahami keperluan golongan masyarakat walaupun memiliki nama besar dan pengaruh di media sosial. -Sinar Harian
#Hasif Upin #Muhammad Hasif Sharauddin #minyak percuma #kenaikan kos hidup
;