500 pelajar tahfiz di Perlis akan didedah dengan program TVET
Bernama
Jun 17, 2023 05:00 MYT
Jun 17, 2023 05:00 MYT
ARAU: Sejumlah 500 pelajar tahfiz dari 23 sekolah bakal didedahkan dengan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai kemahiran tambahan.
Pengerusi Pertubuhan Penggerak Huffaz Berkemahiran Selangor (Penggerak Huffaz) Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata inisiatif bersama Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (PINTA Perlis) itu dijangka memberi manfaat kepada pelajar yang sedang mengikuti program tahfiz di negeri tersebut.
"Pelajar akan diberikan latihan oleh Institut Latihan Kemahiran Awam dan beberapa Institut Latihan Kemahiran Swasta," katanya kepada Bernama di sini semalam.
Beliau berkata 16 program TVET akan dilaksana di Perlis antaranya kemahiran kimpalan, jahitan, mengecat kenderaan, masakan timur dan barat serta asas solekan manakala tempoh kursus asas itu ialah antara dua hingga lima hari dan pelajar boleh mengikuti kursus lanjutan jika berminat.
"Kursus asas ini adalah sebagai pendedahan awal kepada pelajar tahfiz untuk memilih bidang kemahiran vokasional yang mereka minati," katanya.
Terdahulu, Penggerak Huffaz yang diwakili Ahmad Tajudin memeterai perjanjian persefahaman dengan PINTA Perlis yang diwakili Pengerusinya, Muhd Inzaar Haqieqie Ismail
-- BERNAMA