500 anggota NUBE adakan bantahan aman, tuntut selesai isu kesatuan

Bernama
Mei 26, 2022 07:10 MYT
Rata-rata yang menyertai bantahan bermula pukul 5 petang itu, membawa sepanduk dengan kata-kata 'Merompak Rezeki Pekerja', 'Diskriminasi Pekerja' serta 'Kenapa Elak Dialog Sosial'. --fotoBERNAMA
IPOH: Kira-kira 500 anggota Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) berkumpul di hadapan sebuah bank di Jalan Sultan Yusof di sini, bagi membantah beberapa tindakan bank berkenaan yang disifatkan hipokrit serta tidak jujur dalam menyelesaikan aduan yang dikemukakan anggota kesatuan sejak 2019.
Perak merupakan negeri ketiga mengadakan siri bantahan itu selepas Johor dan Pulau Pinang masing-masing pada 10 dan 26 Mac lepas.
Rata-rata yang menyertai bantahan bermula pukul 5 petang itu, membawa sepanduk dengan kata-kata 'Merompak Rezeki Pekerja', 'Diskriminasi Pekerja' serta 'Kenapa Elak Dialog Sosial'.
Setiausaha Agung NUBE J.Solomon berkata pihaknya bertindak demikian kerana pengurusan bank tersebut enggan menyelesaikan isu yang dibangkitkan anggota kesatuan sejak tiga tahun kebelakangan ini, sekali gus melanggar hak serta kepentingan anggota terutama dalam kalangan B40 dan M40.
"Bank tersebut enggan bertindak secara profesional untuk memelihara perhubungan industri yang harmoni dan mengadakan perbincangan selaras dengan Perjanjian Kolektif.
"Sebaliknya, sikap buruk mereka menunjukkan bank itu tidak jujur dan ikhlas dalam menyelesaikan isu pekerja, selain mahu melengah-lengahkan proses dialog sosial," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurutnya bantahan juga dibuat kerana bank tersebut enggan menghormati undang-undang buruh termasuk peruntukan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Beliau juga mendakwa pihak bank melanggar Seksyen 30 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Seksyen 40 akta sama kerana mendedahkan butiran peribadi pelanggan kepada syarikat luar.
-- BERNAMA
#NUBE #bantahan aman #pengurusan bank #isu kesatuan '
;