50 tahun Wilayah Persekutuan iktiraf kemajuan, kelestarian, keunikan serta perkukuh perpaduan

Farhan Hakimi
Julai 28, 2024 09:40 MYT
Dr Zaliha (enam, kanan) merasmikan Karnival Santai Keluarga 50WP dan Temu DBKL di Taman Tasik Danau Kota, Kuala Lumpur pada Ahad
KUALA LUMPUR: Sambutan 50 tahun Wilayah Persekutuan melabuhkan tirainya pada Ahad dengan penganjuran Karnival Santai Keluarga 50WP dan Temu DBKL sebagai kemuncak sambutan di Taman Tasik Danau Kota, Kuala Lumpur.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, penganjuran karnival itu dilihat sangat baik kerana dapat menyatupadukan pelbagai komuniti khususnya warga Wilayah Persekutuan.
"Sudah tentu program-program dan juga polisi-polisi yang kita lakukan ini sangat bertepatan dengan apa yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.
"Ini kerana kita menerajui 'federal' jadi semua yang dilakukan ataupun kementerian-kementerian yang hendak melaksanakan polisi-polisi mereka akan memberi tumpuan kepada Wilayah Persekutuan khususnya di Kuala Lumpur ini," katanya.
Beliau turut menyentuh berkenaan usaha kerajaan khususnya di pihak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam memastikan Wilayah Persekutuan Labuan turut dapat dimajukan sebagai hab ekonomi yang unggul dan berdaya saing.
"Sudah tentu Labuan juga adalah satu wilayah di mana kita boleh tingkatkan prestasi dan sangat berpotensi untuk kita tingkatkan aktiviti ekonominya.
"Antara produk yang ada di Labuan ini ialah pelancongan yang saya rasakan perlu difokuskan.
"Ini bagi memastikan agar pada akhirnya ketiga-tiga Wilayah Persekutuan ini menyumbang yang tertinggi kepada ekonomi negara," ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Santai Keluarga 50WP dan Temu DBKL di Taman Tasik Danau Kota, Kuala Lumpur pada Ahad.
Sambutan 50 tahun Wilayah Persekutuan diadakan bagi memperingati pembentukan Wilayah Persekutuan melalui pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pertama pada 1974.
Seterusnya Labuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan kedua 10 tahun berikutnya pada tahun 1984 dan Putrajaya melengkapi pembentukan Wilayah Persekutuan apabila diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan yang ketiga pada tahun 2001.
Sebanyak 46 program telah berjaya dilaksanakan sepanjang sambutan berlangsung mengikut teras seperti ilmiah dan kerohanian, keusahawanan, seni dan budaya, sosial dan kemasyarakatan, dan sukan.
Dalam pada itu Ketua Pengarah JWP, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim menyeru warga Wilayah Persekutuan khususnya di Kuala Lumpur agar sentiasa menjaga dan memelihara kebersihan bukan sahaja di kawasan perumahan tetapi juga di medan-medan selera dan gerai statik tepi jalan.
Usaha itu menurutnya perlu dipergiat agar selaras dengan inisiatif Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur yang digerakkan JWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memperindah kawasan perniagaan yang kelihatan usang, tidak tersusun dan mempunyai banyak kerosakan.
Usaha itu juga bagi memastikan kesediaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang akan menjadi Tuan Rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun hadapan.
#Wilayah Persekutuan #Ulang Tahun Ke-50 #dr zaliha #Jabatan Wilayah Persekutuan