50 tahun UDA: 'Bersama Meneruskan Legasi', perkasa usahawan Bumiputera

Ehsan A Marisah
Julai 26, 2022 14:01 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun UDA ke-50 di Petaling Jaya malam tadi. - Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Selepas lima dekad menjadi perintis dalam industri pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan negara, UDA Holdings Berhad (UDA) mengadakan sambutan khas meraikan pelbagai pihak pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 ‘Bersama Meneruskan Legasi’.
Ia merupakan penghargaan ahli lembaga pengarah, barisan pengurusan kanan serta seluruh warga kerja UDA kepada pihak berkuasa tempatan, pelanggan dan rakan-rakan media yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepada UDA sejak ia ditubuhkan pada 1971 sehingga kini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sambutan jubli emas itu membuktikan kesepaduan antara semua pihak dan menjadi faktor utama penyumbang kelangsungan operasi UDA dalam setiap segmen perniagaannya.
“Pembangunan kediaman dan komersial serta pembukaan bandar-bandar baharu semenjak penubuhan UDA pada tahun 1971 telah menyumbang kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia dan menangani ketidakseimbangan ekonomi negara.
“Penyediaan ruang niaga yang kondusif di kompleks beli-belah UDA, lebih-lebih lagi dengan lokasinya yang strategik, menggambarkan UDA sentiasa fokus dalam memperkasa Keluarga Usahawan serta membuka peluang bagi mereka menjalankan perniagaan di kawasan maju dan kompetitif,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 UDA di sebuah hotel dekat Petaling Jaya, pada Isnin.
Di samping itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, UDA juga memberi fokus terhadap pembangunan keusahawanan dengan penyediaan ruang kondusif di lokasi strategik.
“Selain daripada fokus terhadap pembangunan negara, UDA turut aktif memainkan peranan bagi memperkasa golongan usahawan dengan menyediakan ruang niaga kondusif di kompleks beli belah UDA di seluruh negara.
“Lokasinya yang terletak di kawasan strategik, menjadi nilai tambah kepada usahawan memasarkan serta mempromosikan produk keluaran mereka,” ujarnya.
Lancar jenama baharu LIFE
Memeriahkan sambutan ulang tahun ke-50, UDA turut melancarkan penjenamaan baharu ‘LIFE’, iaitu Legacy, Integrated, Finesse dan Enrich sebagai tonggak utama perniagaan UDA terus melakar kejayaan menuju 50 tahun ke hadapan.
Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, penjenamaan itu akan menjadi ‘DNA’ UDA untuk komited memajukan pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti serta perhotelan demi melahirkan komuniti inklusif seiring hasrat kerajaan melahirkan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’.
Ia juga mampu mencorakkan pembangunan yang seimbang dan lestari selain memperkasakan kehidupan komuniti setempat dengan menyumbang kepada komuniti sebagai tanda penghargaan UDA atas sokongan berterusan.
“LIFE dapat dizahirkan menerusi kehidupan yang lebih bermakna dengan meneroka peluang baharu dan mencapai impian serta matlamat lebih tinggi seterusnya meneruskan legasi kehidupan untuk generasi akan datang. Inilah makna sebenar LIFE yang ingin UDA tanamkan dalam nadi perniagaan serta seluruh warga UDA.
“Jenama LIFE juga menampilkan tema tersendiri, iaitu Embrace Life untuk hartanah, Experience Life untuk pusat beli belah, Enjoy Life untuk hospitaliti dan Enhance Life untuk pengurusan fasiliti,” jelasnya.
Buku 50 Tahun UDA dan penyerahan hadiah X50
Sementara itu, turut dilancarkan Buku 50 Tahun UDA yang mengabadikan perjalanan, kejayaan dan transformasi UDA mencorak serta memodenkan pembangunan negara merangkumi pembangunan hartanah dan keusahawanan di kawasan selama lima dekad.
Ia memuatkan kisah penubuhan dan perkembangan UDA, yang bakal menjadi rujukan generasi masa depan selain memuatkan temu bual khas barisan pengurusan dan kakitangan yang telah menyumbang tenaga serta kepakaran mereka.
Pada majlis sama, UDA turut menyampaikan hadiah Proton X50 kepada pemenang utama kempen hartanah ‘UDA 50 Golden Offers’ kepada Ahmad Shahrul Mohamed, 52, yang membeli produk hartanah terbaharu di Kuala Lumpur.
Kempen yang berlangsung bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021 itu telah menyaksikan nilai pembelian hartanah sebanyak RM156.1 juta.
Pengiktirafan dan anugerah
Segala usaha keras UDA tersebut membuahkan hasil apabila menyaksikan UDA menerima beberapa pengiktirafan dan anugerah sepanjang tahun ini.
Ia merangkumi Asean Property Developer Award (kategori Best Developer); Best Employer Brand Award, (kategori Our Colleagues Love Working Here); Leadership Excellence in Community and Sustainability Initiatives by Sustainability and CSR Malaysia Awards (kategori Company Of The Year Award) dan The BrandLaureate SMEs Strategic Business Partner Award 2022 (kategori The BrandLauraete SMEs Strategic Business Partner Award 2022).
UDA juga menerima pencalonan dalam The Edge Malaysia Best Managed & Sustainable Property Awards 2022 (kategori ‘Above 10 Years: Retail - Non-Strata menerusi Angsana Johor Bahru Mall.
#UDA #50 tahun UDA #ismail sabri yaakob #Noh Omar #Norliza Abdul Rahim #Bumiputera
;