50 peratus pembeli rumah PR1MA adalah golongan muda - Reezal Merican

Umavathi Ramayah
Mac 8, 2022 11:35 MYT
Reezal Merican Naina Merican berkata, pada tahun lepas sahaja sebanyak 34 peratus atau 1,904 pembeli rumah PR1MA terdiri daripada golongan muda. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 peratus atau 17,543 pembeli rumah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di seluruh negara terdiri daripada golongan muda yang berusia 25 hingga 35 tahun setakat Disember lalu..
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pada tahun lepas sahaja, sebanyak 34 peratus atau 1,904 pembeli rumah PR1MA terdiri daripada golongan itu.
“Ini sekali gus membuktikan harga tawaran rumah PR1MA menjadi kegemaran anak muda dan mampu dimiliki golongan berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan kejayaan kementerian dalam menyediakan projek perumahan mampu milik khususnya bagi golongan muda berumur 25 hingga 35 tahun, seterusnya sambutan golongan muda terhadap projek perumahan PR1MA seluruh negara.
Selain itu, Reezal Merican berkata, PR1MA juga akan memperkenalkan inisiatif Youth Home Ownership yang menyasarkan peningkatan pemilikan rumah PR1MA dalam kalangan golongan muda iaitu dari 50.3 peratus kepada 70 peratus menjelang hujung tahun ini.
Katanya, bagi membantu golongan muda memiliki rumah, kementerian sedang merancang untuk menyediakan Rumah Transit Belia (RTB) di beberapa lokasi di Lembah Klang yang mana harga rumah dan kadar sewa adalah tinggi di kawasan tersebut.
"Sebanyak dua projek RTB dicadangkan di Mukim Batu, Kuala Lumpur dan satu projek di Rawang, Selangor.
"Bagi projek RTB Mukim Batu, Kuala Lumpur akan dibangunkan sebanyak 1,400 unit dan bagi RTB Rawang, Selangor sebanyak 3,000 unit akan dibina," jelasnya.
Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga mengenal pasti isu utama pemilikan rumah mampu milik untuk golongan berusia 25 hingga 35 tahun adalah kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan atau barrier of entry.
"Oleh itu, kerajaan Persekutuan melalui kerjasama KPKT dan MoF (Kementerian Kewangan) bercadang untuk menganjurkan Program Home Ownership Programme (HOPE) ini yang memfokuskan empat elemen iaitu Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (IPPM), penyediaan perumahan, program dan promosi," ujarnya.
#Reezal Merican #Dewan Rakyat #PR1MA #golongan muda
;