50 peratus daripada 5,000 sampel beras import dicampur beras putih tempatan
Bernama
Februari 26, 2025 16:47 MYT
Februari 26, 2025 16:47 MYT
Kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) yang boleh membezakan antara beras putih tempatan dan import. - Gambar hiasan/Freepick
SERDANG: Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) mendapati kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa telah dicampur beras putih tempatan.
Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI Mohd Shahril Firdaus Ab Razak berkata kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) yang boleh membezakan antara beras putih tempatan dan import.
"Sebanyak 5,000 sampel diambil secara rawak daripada 55 kampit beras yang dirampas. Setiap satu kampit beras, sebanyak 95 sampel telah diambil. Dalam masa antara tiga dan lima hari, kita boleh buat analisis ke atas 950 sampel," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Shahril Firdaus berkata tempoh kajian bermula penghujung 2023 hingga Mac 2024 sejak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mewujudkan Pasukan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan untuk mengenal pasti rantaian beras putih tempatan.
"Laporan kajian kita serahkan kepada pihak berkuasa yang hantar sampel kepada kita iaitu Kawalselia Padi Beras (KPB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," katanya.
Beliau berkata 10 varieti padi bersubsidi antaranya MR303, MR307, MR315, Padi Putra 1 dan Padi Putra 2 dijadikan sebagai penjujukan kajian.
Mohd Shahril Firdaus berkata kajian menggunakan teknologi berkenaan dilaksanakan susulan permintaan pihak berkuasa seperti KPB dan KPDN yang bertanggungjawab melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan.
Untuk rekod, KPDN menerima sebanyak 47 aduan berkaitan isu beras termasuk berkaitan beras campuran iaitu dipercayai campuran beras tempatan dengan beras import sepanjang tempoh pelaksanaan Op Jamin yang bermula pada 7 Julai hingga 2 Sept 2023.
Pada 9 Oktober lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan akan memperkenalkan Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan Beras Putih Import, antara strategi utama bagi menyelesaikan isu kekurangan beras putih tempatan.
-- BERNAMA