50 penduduk nyaris tertimbus tanah runtuh di Sungai Penchala
Sinar Harian
Disember 19, 2021 19:13 MYT
Disember 19, 2021 19:13 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih 50 penduduk dari sembilan rumah di Kampung Palimbayan Tanah 60, Sungai Penchala di sini terselamat daripada tertimbus dalam kejadian tanah runtuh jam 12.30 tengah malam, Ahad.
Kesemua yang terlibat merupakan penduduk yang tinggal di kawasan lereng bukit.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan
Sembilan rumah tersebut ranap sama sekali manakala hampir 70 penduduk dari 11 rumah di sekitar, sudah mengosongkan kediaman masing-masing selepas mereka diminta untuk berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) oleh pihak berkuasa.
Menceritakan detik kejadian, seorang penduduk, Sawadi Sawi, 56, berkata, dia dikejutkan dengan jeritan jiran supaya segera melarikan diri.
"Saya menoleh ke belakang dan melihat pokok durian, tanah serta batu mula runtuh menuju ke rumah saya.
"Disebabkan terlalu terkejut, saya kaku di pintu rumah sehingga dipanggil jiran-jiran," katanya.
Ekoran itu Sawadi berkata, dia tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk motosikal yang digunakan untuk ke tempat kerja.
Malah katanya, dia sedih menyenangkan rumah yang diduduki sejak 30 tahun lalu itu, musnah 100 peratus.
Artikel asal diterbitkan di portal Sinar Harian.