50 penagih dadah ditahan dalam Op Sarang
Astro Awani
Mac 29, 2021 09:13 MYT
Mac 29, 2021 09:13 MYT
KUALA LUMPUR: Hukuman penjara tidak menginsafkan seorang lelaki berusia 50 tahun daripada terus bergelumang dengan dadah.
Suspek sebelum ini sudah 36 kali keluar masuk penjara atas kesalahan yang sama.
Lelaki itu adalah antara 50 penagih dadah yang ditahan berhampiran hotel-hotel bajet dan pasar awam, Jalan Chow Kit dan Jalan Raja Bot dalam Ops Sarang di ibu negara malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan itu dilakukan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Unit Anjing Pengesan K9 selama kira-kira satu jam.
Katanya, berdasarkan siasatan, kumpulan penagih ini menjadikan kawasan berkenaan sebagai sarang penagihan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.
"Selain menemui dadah dipercayai heroin, kita juga berjaya mengenal pasti pengedar dadah yang aktif di sekitar kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas Op Sarang di sini, pada Isnin.
Mohamad Zainal memberitahu, dalam operasi kira-kira pukul 2 pagi itu, kebanyakan yang diberkas berada dalam keadaan berkhayal sama ada secara individu atau berkumpulan.
Berdasarkan maklumat awal katanya, salah seorang penagih wanita menghidap HIV.
Mereka yang ditahan ujarnya, adalah berusia antara 20 dan 50 tahun.
"Semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Chow Kit untuk ujian saringan COVID-19 sebelum dihantar ke IPD Dang Wangi bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut," katanya.
#Dadah
#penagih
#Op Sarang
#Mohamad Zainal Abdullah
#Jalan Raja Bot
#Jalan Chow Kit
#Jalan San Peng
#Pasar Chow Kit