50 lembu mati dipercayai akibat diracun
Shuhada Abdul Kadir
Mac 7, 2023 20:20 MYT
Mac 7, 2023 20:20 MYT
ALOR GAJAH: Kira-kira 50 ekor lembu ternakan ditemui mati dipercayai akibat di racun di kawasan kebun durian di Jalan Machap Umboo, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian itu disedari oleh pemilik haiwan ternakan berkenaan sekitar pukul 7.30 pagi tadi sebelum tampil membuat laporan polis.
Katanya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 43 tahun itu pada awalnya dimaklumkan oleh seorang pekerja bahawa dua ekor lembu ternakan miliknya bersama adik lelakinya telah mati di tanah kebun berhampiran.
“Pengadu dan adik lelakinya telah pergi ke tanah kebun tersebut dan mendapati anggaran 50 ekor lembu telah mati di sekitar tanah kebun tersebut.
“Pengadu memaklumkan kesemua ternakannya itu masih dalam keadaan baik pada petang Isnin (semalam), akan tetapi ternakan tersebut tidak dimasukkan dalam kandang kerana faktor musim hujan dan dibiarkan berkeliaran mencari makan di dalam ladang kelapa sawit.
“Siasatan mendapati lembu-lembu itu juga telah menceroboh kawasan tanah kebun tanaman pokok durian dan di dapati terdapat kesan pagar roboh akibat rempuhan binatang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut ujarnya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah mengambil sampel haiwan terjejas bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Punca sumber makanan (lembu) kebiasaannya dengan meragut rumput di sekitar dalam ladang kelapa sawit.
“Makluman awal simptom dapati kemungkinan lembu-lembu tersebut mati akibat keracunan di mana pihak JPV beritahu keadaaan lembu yang mati dalam keadaan mulut berbuih, organ keluar darah, dan keadaan dalaman abnormal,” ujarnya.
Tambahnya, anggaran kerugian setakat ini juga mencecah RM200,000.