50 jawatan diluluskan untuk WCB, bantu banteras jenayah hidupan liar - KPN
Mirlen Axtius
Ogos 4, 2022 18:29 MYT
Ogos 4, 2022 18:29 MYT
KOTA KINABALU: Sejumlah 50 perjawatan baharu telah diluluskan bagi tujuan memantapkan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WBC) dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan hidupan liar di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kelulusan yang diputuskan kerajaan pada pertengahan Julai lalu itu akan memberi kesan positif sekali gus dapat mengawal kegiatan pemburu haram dan aktiviti pemerdagangan serta melindungi spesies yang terancam.
“Penubuhan WCB ini diharap dapat membuka mata banyak pihak bahawa jenayah alam sekitar juga perlu diberi perhatian dan tindakan penguatkuasaan yang proaktif, selari dengan jenayah konvensional serta bukan konvensional lainnya.
“50 anggota polis dan pegawai bertugas dalam biro berkenaan dan ditempatkan mengikut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini, hari ini pada Khamis.
Tambah Acyrl Sani, biro berkenaan akan menggunakan kepakaran polis dalam bersama-sama membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Tujuannya kata beliau adalah untuk mematahkan kegiatan penyeludupan hidupan liar serta menyiasat sindiket yang terbabit dalam penyeludupan dan perdagangan hidupan liar.
Sementara itu, beliau berkata, sejak penubuhan biro berkenaan, operasi penguatkuasaan dilihat semakin meningkat berdasarkan kepada statistik OBK yang merekodkan 60 kes dan 97 tangkapan membabitkan RM3,831,987.30 rampasan bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini.
Katanya, ia jelas meningkat berbanding hanya 30 kes bagi 29 tangkapan membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM537,490 bagi tempoh masa sama pada tahun lalu.
“Kita percaya momentum ini dapat diteruskan dalam usaha mendokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) mengikut Agenda 2030, dalam pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara,” tegasnya.