5 topik untuk sembang hari ini
Astro Awani
Mac 31, 2020 07:05 MYT
Mac 31, 2020 07:05 MYT
SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.
1. Umat Islam diminta tangguh persiapan haji, umrah
Arab Saudi meminta umat Islam untuk menangguhkan sebarang rancangan untuk menunaikan haji dan umrah sebelum sebarang perkembangan mengenai COVID-19 diketahui.
Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Saleh Benten ketika mengumumkan perkara itu berkata Arab Saudi bersedia menerima jemaah haji dan umrah, namun keadaan semasa tidak memungkinkan negara itu mengendalikan dan memastikan kesihatan para jemaah.
Selain menangguhkan haji dan umrah, Arab Saudi juga menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Mekah dan Madinah.
2. Dua golongan umur paling terjejas COVID-19
Statistik menunjukkan dua kumpulan umur masyarakat yang paling tinggi kes positif COVID-19 adalah dalam lingkungan 26 hingga 30 tahun dan 56 hingga 60 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua kumpulan itu mungkin terdiri daripada pelajar Malaysia yang belajar di luar negara dan ketua keluarga yang sering keluar membeli barangan keperluan rumah.
3. 17 kes Menara City One dari kluster jemaah tabligh
Tujuh belas kes positif jangkitan COVID-19 di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah dilaporkan hadir Himpunan Jemaah Tabligh di Masjid Sri Petaling Februari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes COVID-19 yang mendadak menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.
4. Kuarantin 14 hari bermula Jumaat
Semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan dikuarantin selama 14 hari di satu tempat khas yang akan disediakan oleh kerajaan, bermula Jumaat ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu langkah itu dipersetujui dalam Mesyuarat Bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi Menyeleras Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Selasa.
5. Darurat kesihatan di Indonesia
Presiden Joko Widodo (Jokowi) menetapkan Indonesia kini berstatus darurat atau kecemasan kesihatan, dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang kini mengorbankan 136 nyawa di negara itu.
Menerusi penetapan status itu, Presiden Jokowi memerintahkan pembatasan sosial berskala besar dilaksanakan dalam semua aspek aktiviti masyarakat bagi menangani penularan virus tersebut.
Indonesia dalam pada itu memutuskan untuk menyekat kemasukan dan transit warga asing ke negara tersebut bagi mengelakkan penyebaran wabak COVID-19.
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata warga asing yang mempunyai kebenaran untuk tinggal dan lawatan diplomatik dikecualikan dari larangan tersebut.
#5 topik untuk sembang hari ini
#Arab Saudi
#COVID-19
#ismail sabri yaakob
#koronavirus
#Madinah
#Mekah
#Mohammed Saleh Benten
#Noor Hisham Abdullah
#tangguh haji
#tangguh umrah