5 topik untuk sembang hari ini
Astro Awani
Mac 7, 2020 06:09 MYT
Mac 7, 2020 06:09 MYT
SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.
1. Terkini COVID-19
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu menitahkan rakyat Malaysia untuk memainkan peranan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada Sabtu berkata Seri Paduka turut menzahirkan kebimbangan berikutan pengesanan 28 kes baharu jangkitan COVID-19 pada Jumaat.
2. Pilihan raya umum diadakan semula?
Pakatan Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan semula susulan UMNO dan Pas mahu menyingkirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bekas Menteri Pengangkutan yang juga Setiusaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook mendakwa UMNO dan Pas sebenarnya tidak menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Sebaliknya, menurut Anthony, kedua-dua parti itu bermatlamat ke arah pembubaran Parlimen dengan impian pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dalam perkembangan lain mencadangkan agar usul percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 dibawa di Dewan Rakyat dalam sesi akan datang.
Hal ini berikutan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan usul tidak percaya memberi gambaran seolah-olah pakatan itu tidak percaya terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong.
3. Ulang tahun ke-6 kehilangan MH370
Hari ini genap enam tahun insiden kehilangan pesawat MH370.
Walaupun sudah sekian lama sejak 2014, isu pencarian bangkai pesawat yang hilang itu masih diperkatakan.
Dalam perkembangan terkini, Kementerian Pengangkutan dijangka bertemu perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu hadapan bagi membentangkan kertas Kabinet berkaitan pampasan kepada waris mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.
Ketua Setiausahanya, Datuk Isham Ishak berkata pampasan itu adalah sebagai penyelesaian luar mahkamah bagi kes saman waris mangsa terhadap kerajaan Malaysia dan agensi berkaitan.
4. Wanita harus ubah persepsi
Wanita harus mengubah persepsi bahawa mereka perlu menjadi sempurna jika ingin menjawat jawatan tinggi dalam sesebuah syarikat atau organisasi kerana pemikiran sedemikian sebenarnya menyekat kemajuan golongan itu.
Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Bursa Malaysia Berhad, Chong Chye Neo, berpendapat ramai wanita mempunyai persepsi sedemikian yang menjadi antara faktor banyak jawatan tertinggi syarikat serta organisasi tidak dikuasai golongan itu.
Menurut Chong, penanda aras yang terlalu tinggi diletakkan terhadap diri sendiri menjadi punca sebahagian wanita berasa kurang yakin, terutama untuk membabitkan diri dalam sesuatu bidang yang jarang diceburi golongan berkenaan.
Dalam pada itu, pelbagai program diwujudkan bagi melahirkan usahawan dalam kalangan wanita.
Antaranya, program Celebpreneur atau selebriti usahawan di bawah kendalian The Girls Republique (TGR) bertujuan melahirkan seberapa ramai golongan wanita dalam bidang keusahawanan yang difikirkan mempunyai prospek dan daya saing.
Selamat Hari Wanita!
5. Masjidilharam dibuka semula
Selepas ditutup sehari untuk kerja-kerja pembersihan, Masjidilharam dibuka semula pada Sabtu.
Bagaimanapun pihak berkuasa Arab Saudi sebahagian kawasan berdekatan dengan Kaabah masih ditutup.
Jemaah yang hadir terutamanya yang menunaikan rukun tawaf dibenarkan melakukannya pada jarak yang ditetapkan.
Kawasan ini lengang sejak beberapa hari lalu selepas pihak berkuasa mengambil tindakan untuk menutupnya bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan.
Ia berikutan peningkatan kebimbangan jangkitan COVID-19 selain persediaan menyambut Ramadan bulan depan.
Jumlah kemasukan umat Islam di tanah suci itu dijangka meningkat menjelang Ramadan ini menyebabkan langkah berjaga-jaga terpaksa dilakukan lebih awal.
#5 topik untuk sembang hari ini
#Abdul Hadi Awang
#COVID-19
#DAP
#Dewan Rakyat
#hari wanita
#koronavirus
#Malaysia Airlines
#MH370
#Muhyiddin Yassin
#Pakatan Harapan
#PAS
#pilihan raya umum
#PPBM
#UMNO