5 topik untuk sembang hari ini

Astro Awani
Februari 22, 2020 06:32 MYT
Sebelum memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.
SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.
1. Terkini COVID-19
Bekas pesakit COVID-19 yang dibenarkan pulang mungkin masih belum pulih dari jangkitan itu sepenuhnya.
Ini kerana, menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye terdapat beberapa faktor mendorong kepadanya, termasuk hasil keputusan yang menjurus kepada "False negative."
Beliau mengulas laporan media bahawa seorang bekas pesakit di China yang dibenarkan pulang selepas disahkan bebas namun disahkan positif virus itu semula dalam tempoh 10 hari.
2. Desakan AG letak jawatan meningkat
Desakan supaya Peguam Negara, Tommy Thomas meletak jawatan semakin meningkat selepas beliau membuat keputusan kontroversi menggugurkan 34 pertuduhan terhadap 12 individu di bawah Sosma bersabit LTTE.
Antara yang menyuarakan bantahan termasuk bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Naiza Mohideen dan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang kecewa dengan keputusan dibuat Peguam Negara pada Jumaat lepas.
3. Dividen KWSP
KWSP umum dividen 5.45 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.0 peratus bagi simpanan shariah untuk tahun kewangan 2019.
Prestasi kukuh bagi 2019 disumbang operasi dan kewangan, sekali gus membolehkannya memberikan 2.95 peratus melebihi kadar dimandatkan mengikut Akta KWSP 1991 yang memerlukan pengisytiharan dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun.
Bagaimanapun, angka itu menurun sedikit berbanding kadar sebelumnya di mana untuk konvensional ialah 6.9 peratus, manakala shariah sebanyak 6.4 peratus.
4. Hiburan
Siapa juara pertama program realiti "Dansa dan Sing" dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000 diketahui malam ini.
Ia mempertaruhkan enam finalis dengan tiga tugasan mencabar.
Program yang membawa elemen dinamik seni tari dan nyanyian digabungkan dalam satu persembahan ini disiarkan secara langsung dari auditorium MBSA di saluran 104 Astro RIA dan RIA HD 123 pada jam 9 malam.
Dalam perkembangan lain, pelakon Tasha Shila dikhabarkan akan mengikat tali pertunangannya hari ini.
Majlis pertunangan aktres berkenaan difahamkan akan berlangsung di Empire Damansara secara tertutup untuk keluarga dan rakan terdekat.
Menurut sumber, Tasha Shila dan tunangnya yang enggan didedahkan identitinya akan melangsungkan pernikahan pada 28 Februari ini di Masjid Wilayah selain majlis resepsi di Zebra Square KL.
5. Stadium Sultan Ibrahim dirasmikan
JDT kini ada mercu tanda sendiri dengan perasmian stadium baharu dikenali Stadium Sultan Ibrahim.
Bagi peminat dan penyokong JDT, mereka menyifatkan pembukaan stadium bertaraf antarabangsa itu sebagai satu kebanggaan.
Pembinaan Stadium Sultan Ibrahim dengan kos RM200 juta di Iskandar Puteri ini bagi menggantikan stadium sebelum ini iaitu Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin.
#5 topik untuk sembang hari ini #COVID-19 #desakan AG letak jawatan #dividen KWSP #false negative #JDT #Lee Boon Chye #LTTE #SOSMA #Stadium Sultan Ibrahim #Stadium Tan Sri Hassan Yunos #Tommy Thomas
;