5 topik untuk sembang hari ini

Astro Awani
Januari 23, 2020 07:20 MYT
Sebelum memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.
SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.
1. Koronavirus belum mencapai kecemasan global
Walaupun wujud kebimbangan orang ramai berhubung virus yang muncul dari Wuhan, China, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Khamis, ia masih belum disifatkan satu situasi kecemasan kesihatan awam antarabangsa.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan mengesahkan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) ke atas seorang pesakit yang dirawat di wad isolasi di sebuah hospital di Sabah adalah negatif.
Ia menjadikan keempat-empat kes disyaki dijangkiti 2019-nCoV, masing-masing dua kes di Selangor dan Sabah yang dilaporkan terdahulu, adalah negatif.
Pada masa sama, seorang warga China di Singapura disahkan positif dijangkiti virus Wuhan, manakala seorang lagi berkemungkingan dijangkiti virus yang sama.
Manakala di China, Huanggang bandar kedua diletakkan di bawah perintah berjaga-jaga selepas bandar Wuhan dikuarantin selepas tercetus wabak koronavirus baharu.
Di Arab Saudi pula, seorang jururawat India disahkan dijangkiti koronavirus.
Dalam perkembangan berkaitan, harga minyak global terus mencatatkan kejatuhan pada Khamis susulan kekhuatiran tentang kesan wabak koronavirus dari China.
2. Pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina
Lebih 75 peratus tiket Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity telah terjual daripada keseluruhan 197,328 tiket yang ditawarkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.
Sementara itu, 8,570 kemalangan jalan raya membabitkan 13,038 kenderaan dilapor dalam tempoh lima hari Op Selamat 16/2020 bersempena Tahun Baharu Cina sejak dilancarkan pada Sabtu sehingga Rabu.
Pada masa sama, pengguna rangkaian lebuh raya PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan menikmati diskaun tol 20 peratus Ahad ini bersempena perayaan tersebut.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menjangkakan lebih sejuta kenderaan memasuki negeri itu sempena cuti yang bermula hari ini.
JPJ juga mengeluarkan arahan larangan pemanduan kenderaan berat di jalan raya sempena Tahun Baharu Cina yang dilaksanakan pada empat hari iaitu Khamis (semalam), Jumaat, Isnin dan Selasa.
3. Novelis Malaysia terima hadiah Freeman Book Awards
Penulis dari Sungai Buloh, pengarang novel The Weight of Our Sky, Hanna Alkaf, 34 tahun, memenangi anugerah Freeman Book Awards 2019 anjuran Columbia University dari Amerika Syarikat.
Ia diisytihar pemenang kategori Remaja/Sekolah Tinggi (Young Adults/High School Literature)
Ini kali kedua novelis Malaysia dianugerah Hadiah Freeman Book Awards selepas Shamini Flint.
4. Singapura akan sekat laman sesawang LFL
Laman sesawang kumpulan hak asasi manusia dari Malaysia, Lawyers for Liberty (LFL), akan dikenakan sekatan oleh pihak berkuasa Singapura.
Ia didakwa tidak mematuhi arahan supaya membuat pembetulan berhubung kenyataannya baru-baru ini mengenai tindakan pegawai penjara terhadap banduan yang menerima hukuman mati.
5. Rohingya: Malaysia ulangi sokongan kepada Gambia
Malaysia menganggap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) meluluskan langkah-langkah sementara yang dimohon Gambia berhubung Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid, sebagai hala tuju yang betul dalam menangani keadaan kaum Rohingya.
Wisma Putra berkata Malaysia juga mengulangi sokongannya terhadap Gambia, yang membawa kes berkenaan kepada ICJ.
Baca juga 10 Berita Pilihan sepanjang Khamis di sini.
#5 topik untuk sembang hari ini #China #koronavirus #Lawyers for Liberty #Mahkamah Keadilan Antarabangsa #Rohingya #Tahun Baharu Cina
;