5 topik untuk sembang hari ini

Astro Awani
Januari 20, 2020 06:12 MYT
Sebelum memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.
SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu:
1. Davos 2020 bermula hari ini
Edisi ke-50 Forum Ekonomi Dunia (WEF) Davos 2020 yang bermula hari ini akan mengangkat isu krisis iklim, alam sekitar.
Ketua Pengarang Astro AWANI Kamarul Bahrin Haron yang kini berada di Zurich akan membincangkan butiran tentang topik yang menjadi bualan hangat di sidang WEF kali ini.
Juga julung kalinya, anak-anak muda akan mendominasi dan menjadi suara sepanjang Davos 2020. Selain Greta Thunberg, ramai lagi aktivis anak muda bakal menjadi tumpuan jutaan yang ingin mengubah fikiran pemimpin dunia.
Selain Greta, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bakal menjadi tumpuan. Kedua-duanya akan bercakap pada hari pembukaan hari ini.
2. Shahrir Samad, Ahmad Maslan didakwa hari ini
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Shahrir dan Ahmad semalam sebelum membebaskan mereka dengan jaminan.
3. Pengarah perpaduan negeri, anak didakwa SPRM
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang, Mohd Saidi Midin dan anaknya Mohd Al-Azhim Mohd Saidi bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang jam 9 pagi ini.
Masing-masing bakal menghadapi satu pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009.
4. Jangkitan Influenza A terus meningkat
Bilangan guru dan murid yang dijangkiti Influenza terus meningkat.
Di Pulau Pinang, sebuah kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kai Chee di Butterworth ditutup selepas empat muridnya dijangkiti virus Influenza A. Kelas itu ditutup bermula Jumaat lepas hingga 26 Januari ini.
Di Kedah, seramai 65 murid termasuk guru di 39 sekolah rendah dan menengah di negeri itu disahkan dijangkiti influenza.
Manakala di Sabah pula merekodkan seramai 12 murid sekolah rendah yang dikesan dijangkiti Influenza A (H1N1) setakat ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan sedang mengumpul maklumat berkenaan jumlah pesakit Influenza A di seluruh negara.
Menurut menterinya, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, proses berkenaan memakan masa kerana ia penyakit yang tidak wajib dinotifikasikan.
5. Zuraida tidak sertai Bersatu
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin tidak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jelas Setiausaha Politiknya, Nor Hizwan Ahmad.
Beliau merujuk kepada sebaran surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dan beberapa borang keahlian Bersatu yang mendakwa ada permohonan Zuraida bagi menyertai parti itu.
Tegasnya, penularan surat berkenaan adalah palsu dan bertujuan mengeruhkan lagi suasana politik.
Baca juga 10 Berita Pilihan sepanjang Isnin di sini.
#5 topik untuk sembang hari ini #Ahmad Maslan #Davos #Donald Trump #Influenza A #Mahathir Mohamad #Parti Keadilan Rakyat #shahrir samad #WEF #World Economic Forum
;