5 sekeluarga termasuk 2 menantu dalang sindiket dadah diberkas

Ernalisa Othman
Oktober 1, 2020 14:41 MYT
Menurut Ayob Khan empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga Thailand ditangkap dalam empat serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Lima sekeluarga bersama dua menantu yang dipercayai terlibat dengan aktiviti sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah sejak tahun lepas berjaya ditahan polis kira-kira jam 7 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga Thailand terbabit ditangkap dalam empat serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri.
Kesemua yang ditangkap berumur di antara 35 hingga 64 tahun.
Hasil ujian saringan air kencing, salah seorang suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua lagi mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Mereka (dipercayai) mendapatkan dadah ini daripada Thailand, masuk ke Thailand dan dari sempadan bawa masuk Johor.
“Suspek yang ditangkap hari ini pernah ditangkap pada tahun 2003. Dipenjara selama 10 tahun. Sindiket ini ada kaitan dengan tangkapan sebelum ini,” katanya dalam sidang media hari ini.
Hasil serbuan, polis berjaya merampas 109 kilogram dadah jenis ganja, dan menyita lima buah kereta, tiga buah motosikal dan wang tunai bernilai RM23,190.
Keseluruhan rampasan dan sitaan dadah dianggar berjumlah RM758,840.
Kesemua suspek akan direman esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen B Akta Dadah Berbahaya 1952.
#Johor Bahru #polis #Dadah #suspek #ujian saringan #sindiket #ayob khan mydin pitchay #ketua polis johor
;