5 sekeluarga maut kereta bertembung treler

Mohd Zalani Md Atan
Jun 28, 2022 18:42 MYT
Semua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan jam 3.13 petang itu. - Gambar/ JBPM
PEKAN: Lima sekeluarga termasuk seorang bayi maut selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah treler di Jalan Gambang-Muadzam, dekat Kampung Pulau Manis, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu berkata, dalam kemalangan jam 3.13 petang itu, semua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mereka dikenal pasti sebagai Muhammad Rosli Ibrahim, 33; Nor Afikah Abdullah Sani, 35; serta tiga anak iaitu Nur Safwa Irdina, 7; Nur Sofea Rajda, 6; dan seorang bayi.
"Berdasarkan dokumen pengenalan diri ditemui, semua mangsa berasal dari Simpang Empat, Semanggol, Perak.
"Pemandu dan kelindan lori treler yang terbabit dalam kejadian itu tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chini dan Taman Tas terbabit dalam operasi mengeluarkan mangsa.
"Tiga jentera bersama 13 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik pusat gerakan operasi Bomba Pahang menerima laporan kemalangan itu.
"Semua mangsa dikeluarkan dari kereta jenis Toyota menggunakan peralatan khas menyelamat dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
#kemalangan maut #Lima sekeluarga #Pekan #Kampung Pulau Manis
;