5 sekeluarga maut: Hilux hilang kawalan sebelum rempuh Alza - Polis

Amirrul Rabbani
Julai 24, 2022 10:00 MYT
Nahas yang mengorbankan lima nyawa termasuk kanak-kanak di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada Sabtu terjadi apabila Toyota Hilux terbabas ke lorong bertentangan. -JBPM
IPOH: Nahas yang mengorbankan lima nyawa termasuk kanak-kanak di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada Sabtu berpunca daripada salah sebuah kenderaan terlibat yang terbabas ke lorong bertentangan.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam kenyataan pada Ahad berkata siasatan awal mendapati kenderaan Toyota Hilux hilang kawalan sebelum memasuki arah bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza dinaiki lima sekeluarga di Kilometer 62 JRTB.
Kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux itu dalam perjalanan dari Gerik ke Jeli manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza pula dari Jeli ke Gerik.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu dan empat penumpang Perodua Alza telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kesemua mangsa yang meninggal dunia tersebut berasal dari Sungai Petani dan Lunas, kedah.
“Mangsa yang meninggal dunia ialah Ahmad Khomaini Baba, 32; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32; Mohd Rodhi Othman, 64; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; serta Zara Hana Ahmad Khomaini, 6,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, pemandu termasuk empat penumpang Toyota Hilux dari Tumpat, Kelantan yang cedera telah dihantar ke Hospital Jeli, Kelantan bagi menerima rawatan.
Katanya, kejadian disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada masa sama, Mior Faridalathrash menasihatkan pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati selain merancang perjalanan serta mendapatkan rehat yang cukup ketika ingin melakukan perjalanan jauh.
#Gerik - Jeli #Mior Faridalathrash #Hilux bertembung Alza #lima sekeluarga maut
;