5 sekeluarga cedera dalam nahas 2 kenderaan
Sinar Harian
Mac 12, 2023 11:50 MYT
Mac 12, 2023 11:50 MYT
SIMPANG RENGGAM: Seorang lelaki cedera parah manakala isteri serta anak perempuannya, masing-masing cedera di kaki serta patah tangan dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 75, Machap Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran Machap, pada awal pagi Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Nizar Ma’mun berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 4.55 pagi menerusi talian MERS999.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera FRT dari BBP Renggam dan satu (EMRS) dari BBP Yong Peng dengan kekuatan 10 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih selaku Ketua Operasi dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kereta Perodua Alza dengan lori tiga tan jenis Daihatsu Superjet dan didapati lima mangsa cedera dalam Perodua Alza berkenaan dan empat daripadanya berjaya dikeluarkan oleh orang awam sementara seorang lagi tersepit di tempat duduk sebelah pemandu.
“Komander Operasi membuat 'size up' dan mengarahkan anggota dengan peralatan pelindung diri (PPE) lengkap bagi mengeluarkan mangsa perempuan dewasa yang tersepit di bahagian kaki dengan menggunakan peralatan khas Rescue Tool. Operasi ditamatkan sekitar 6.25 pagi.
“Sementara itu, pemandu lori berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Untuk rekod, mangsa lelaki yang cedera parah termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan (4 tahun) diserahkan kepada ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Batu Pahat manakala mangsa perempuan dewasa yang tersepit bersama kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun diserahkan kepada EMRS Bomba Yong Peng untuk tindakan selanjutnya. -Sinar Harian