5 rumah sederet hangus dijilat api di Teluk Intan

Aida Aziz
Februari 29, 2024 06:00 MYT
Lima buah rumah sederet jenis setinggan hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran di Jalan Mak Intan, Kampung Durian, Teluk Intan, malam tadi.
TELUK INTAN: Lima buah rumah sederet jenis setinggan hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran di Jalan Mak Intan, Kampung Durian, di sini, malam tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.27 malam, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan ke lokasi.
Operasi itu turut dibantu BBP Bidor, Hutan Melintang, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan, Langkap, dan BT 12.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan lima buah rumah yang bersambung kelas B dan C (jenis setinggan).
"No 954 dua tingkat kelas B keluasan 20x30 musnah 90 peratus, No 958 kelas C keluasan 20x30 dijadikan stor menyimpan barang binaan musnah 90 peratus.
"No 959 kelas B keluasan 20x30 musnah 95 peratus, No 959 A kelas B keluasan 20x40 musnah 90 peratus dan No 960 kelas B keluasan 20x40 musnah 85 peratus," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jelasnya lagi, insiden itu tidak melibatkan mangsa dan kerja pemadaman dilaksanakan sehingga api berjaya dikawal.
Operasi yang diketuai PPgB Mohd Ismail Mohd Yunus itu tamat jam 10.50 malam.
#kebakaran #lima rumah sederet #Kampung Durian #bomba Teluk Intan
;