5 pengusaha kilang haram di Kuala Langat dipenjara
Hasimi Muhamad
April 2, 2019 12:14 MYT
April 2, 2019 12:14 MYT
Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan serbuan telah dijalankan dan notis dikeluarkan kepada pengusaha kilang haram kitar semula plastik import di Kuala Langat.
Menurut menterinya, Zuraida Kamaruddin hasil daripada serbuan tersebut, lima pengusaha kilang didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara serta denda kerana tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.
“Di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 denda adalah RM100,000 dan penjara tidak lebih dua tahun, (manakala) kesalahan melibatkan kesan-kesan bahan kimia termasuk yang dilepaskan di sungai adalah RM100,000 dan denda lima tahun penjara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tumpat (PAS) Che Abdullah Mat Nawi mengenai langkah yang dilakukan oleh kementerian tersebut dalam menghapuskan sisa plastik import dari kilang haram.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata KPKT bertanggungjawab dalam memberikan permit pengeluaran lesen import (AP) sisa plastik HS Kod 3915 kepada syarikat-syarikat yang mematuhi peraturan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pemantauan bersama pihak-pihak berkaitan sentiasa dilakukan oleh kerajaan bagi membanteras operasi kilang haram.
“Kehadiran kilang-kilang haram yang disebutkan dan banyak tular di media sosial bukanlah kilang-kilang yang diberi lesen oleh KPKT.
“Jadi, setiap serbuan yang kita lakukan termasuk serbuan bersepadu bersama institusi kerajaan yang lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Syabas dan Jabatan Keselamatan Pekerjaan dan Alam Sekitar,” katanya.
#Akta Kualiti Alam Sekitar 1974
#Dewan Rakyat
#kilang haram
#Kuala Langat
#Pakatan Harapan
#PAS
#pencemaran alam sekitar
#Zuraida Kamaruddin