5 pelajar cedera pondok gazebo sekolah runtuh

Tan Su Lin
Februari 8, 2017 21:05 MYT
Lima pelajar cedera apabila dihempap pondok gazebo sekolah yang runtuh petang tadi. -Astro AWANI/Tan Su Lin
Lima pelajar cedera apabila dihempap pondok gazebo sekolah yang runtuh petang tadi.
Kesemua mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Jalan 4, Seksyen 4, di sini segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bangi, Timbalan Penguasa Bomba Rosman Majid, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.38 petang.
"Berdasarkan pengamatan pasukan kami, didapati struktur tiang gazebo agak kurang kuat, mungkin ia faktor struktur gazebo itu sendiri yang nampak sedikit usang dan tidak kukuh," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Kesemua pelajar hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.
Setakat ini, tiga mangsa dibenarkan keluar hospital, manakala baki dua lagi sedang menerima rawatan lanjut di hospital sama.
#pondok gazebo runtuh #Rosman Majid #Sekolah Kebangsaan Jalan 4
;