5 maut dalam kemalangan libatkan dua kenderaan di Kluang

Siti Nur Aqilla Omar
Januari 22, 2023 21:28 MYT
Lima termasuk dua kanak-kanak maut dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu 13, kawasan Kahang, Jalan Mersing, Kluang petang tadi. - Foto ihsan bomba
KLUANG: Lima termasuk dua kanak-kanak maut dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu 13, kawasan Kahang, Jalan Mersing, di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Mohd Fauzi Md Nor berkata kejadian itu turut menyaksikan enam lagi individu mengalami kecederaan.
Mereka yang maut ialah Mohammad Ashraf Radiq Abdullah, 11; Muhammad Syakir Noramin, 11; Muhammad Zharfah Noramin 16; Masrina Kahdar, 21, dan Muhammad Adil Abdul Kadir, 23.
Kesemua mangsa yang maut menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi.
"Manakala baki lagi tiga yang menaiki Produa Myvi iaitu Siti Nurzannah Kahdar, 26, Nur Annalesha Rania Muhammad Arifin, 7 dan seorang lelaki dewasa berusia 20-an yang maklumatnya tidak diperolehi mengalami cedera.
"Kesemua penumpang dan pemandu kereta Honda Stream, Zulkeflly Zakariah, 53; Kamariah Yusoff, 48 dan kanak-kanak perempuan 10 tahun juga mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya pada jam 4.40 petang," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Mohd Fauzi, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan jenis perodua Myvi dan Honda Stream.
"Tiada mangsa yang tersepit. Tindakan operasi mengeluarkan seorang mangsa di dalam kereta Honda Stream menggunakan peralatan khas penyelamatan Road Traffic Accident (RTA) dan menghantar mangsa ke Hospital Kluang.
"Mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum PKO tiba di lokasi," katanya.
#kemalangan dua kenderaan #Kluang #Myvi #Jalan Mersing
;