5 lokaliti di Pekan, Pahang dikenakan PKPD - Ismail Sabri

Umavathi Ramayah
April 8, 2021 18:41 MYT
Pelaksanaan PKPD di lima lokaliti itu bagi memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal untuk mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di daerah Pekan, Pahang berkuat kuasa esok sehingga 22 April ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan yang terbabit ialah Taman Mentiga Jaya, Taman Perdana, Perkampungan Peramu Jaya 3, Taman Sepekan Makmur dan Kampung Pulau Serai.
Katanya, semua kawasan itu dikenakan PKPD berikutan penularan kes membabitkan Kluster Teknologi Peramu Jaya yang terdiri daripada pekerja kilang.
Beliau memaklumkan sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 495 ujian saringan dan daripada jumlah itu 67 kes positif COVID-19 direkodkan dalam kluster ini.
"KKM mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan COVID-19 di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju PKPD bermula 9 April sehingga 22
April ini," katanya dalam kenyataan media di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD di lima lokaliti itu adalah bagi memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal untuk mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar.
#PKPD #ismail sabri yaakob #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #vaksin #Pekan #Pahang #pekerja kilang #kluster
;