5 hari padam kebakaran tapak pelupusan sampah
Adie Sufian Zulkefli
Mac 7, 2021 21:54 MYT
Mac 7, 2021 21:54 MYT
JITRA: Selepas lima hari berdepan suhu panas dan cuaca terik, pasukan bomba hari ini berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran di tapak pelupusan sampah di Kemunting, Jitra.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon, berkata operasi yang bermula sejak jam 3.30 petang Rabu lalu, dilakukan dengan menggunakan teknik pemadaman yang dibahagikan kepada empat sektor.
Sayani berkata, faktor angin kencang dan cuaca panas menyebabkan pasukannya menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran, selain sampah yang mudah terbakar menyebabkan api marak dengan cepat.
"Kita guna mesin pengorek korek tanah yang dikesan mengeluarkan asap dan buat 'flooding'. Dengan cara itu air meresap masuk dalam tanah dengan lebih cepat dan memadamkan bara di dalam tanah.
"Operasi ini turut menggunakan sumber air terbuka iaitu air tasik di kawasan berdekatan bukit selain bantuan air daripada dua jentera tangki," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata operasi juga lebih lama kerana pihaknya tidak melakukan operasi pada waktu malam atas faktor keselamatan kerana berdasarkan pengalaman terdahulu, anggota berisiko terjatuh ke dalam mendapan timbunan sampah.
Beliau berkata, operasi itu membabitkan pasukan Zon I terdiri 40 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Alor Setar, Pokok Sena, Kuala Nerang, Jalan Raja, Pendang dan Bukit Kayu Hitam.
Selain itu, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).
Kebakaran tapak pelupusan sampah seluas 1.6 hektar di Kemunting itu tercetus Rabu lalu dipercayai berpunca daripada api puntung rokok.
#bomba
#padam kebakaran
#tapak pelulusan sampah
#Kemunting
#Jitra
#lima hari
#5 hari
#angin kuat
#mudah terbakar
#Sayani Saidon