5 graduan terima Pingat Tunku Yayasan Tunku Abdul Rahman
Azyyati Ahmad
April 18, 2016 15:06 MYT
April 18, 2016 15:06 MYT
Lima graduan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang cemerlang dalam pencapaian akademik menerima Anugerah Pingat Tunku sesi 2015 dalam satu majlis khas di sini, hari ini.
Penganugerahan oleh Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) itu bertujuan memartabatkan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
Salah seorang penerima pingat, Sathish Rao Appalanaidu menjadi graduan berbangsa india pertama yang menerima pingat emas dalam Anugerah Pingat Tunku kali ini.
Pemuda berusia 25 tahun yang merupakan graduan Sarjana Pendidikan Moral dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata kesusahan hidup yang dialaminya adalah pendorong utama kejayaannya pada hari ini.
"Kesusahan saya sebagai anak ladang yang membesar di ladang adalah penyebab utama kejayaan saya ini dan sduah tentu galakan dari ibu, bapa dan pensyarah.
“Sebab itu saya mahu agar kejayaan saya hari ini akan member inspirasi kepada ramai graduan atau bakal graduan di luar sana,” katanya.
Satu lagi penerima pingat emas, Hafeezi Abdullah yang merupakan graduan Sarjana Awam dari Universiti Teknologi Malaysia, berhasrat ingin kembali ke universiti dan menubuhkan organisasi bagi mengasah bakat dan peluang graduan dalam bidang ko-kurikulum.
“Seperti apa yang saya lakukan, tidak ramai yang tahu bagaimana untuk menjadi aktif di luar kelas, mereka ada bakat tetapi tidak tahu medium dan saluran yang betul untuk membentuknya.
“Jadi saya mahu menubuhkan satu organisasi dan membantu pelajar kita membentuk kemahiran mereka di luar kelas, bila tamat pengajian kejuruteraan nanti,” katanya.
Sathish dan Hafeezi, masing-masing menerima hadiah emas padu seberat 3.2 gram berserta wang tunai bernilai RM5,000.
Pemenang pingat perak pula disandang oleh Haziq Azree Yazid, graduan Sarjana Bimbingan dan Kaunseling dari UPSI yang membawa pulang perak padu 3.2 gram berserta wang tunai RM3,000.
Manakala, pemenang pingat gangsa dianugerahkan kepada V. Shamala graduan Sarjana Sains Komputer dari Univerisiti Teknikal Malaysia Melaka dan Chua Seng Wei graduan Sarjana Kejuruteraan Biosistem dari Universiti Malaysia Perlis.
Masing-masing penerima gangsa membawa pulang gangsa padu seberat 3.2 gram dan wang tunai RM1,000.
Anugerah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di majlis yang diadakan di Memorial Tunku Abdul Rahman pada Isnin.
Anugerah Pingat Tunku ini telah diperkenalkan pada 1979 dengan ditawarkan kepada graduan ijazah sarjana muda cemerlang yang memperoleh kepujian kelas pertama.
Seseorang graduan mestilah mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) minimum 3.80, dan sangat aktif serta mencapai kecemerlangan dalam bidang kokurikulum sepanjang pengajiannya.