5 ahli keluarga suspek serang Balai Polis Ulu Tiram ditahan bawah Sosma

Umavathi Ramayah
Mei 24, 2024 12:51 MYT
Tan Sri Razarudin Husain berkata, penahanan semula kesemua suspek yang berusia 19 hingga 62 tahun itu dilakukan selepas tempoh reman mereka berakhir pada Jumaat. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penahanan semula kesemua suspek yang berusia 19 hingga 62 tahun itu dilakukan selepas tempoh reman mereka berakhir pada Jumaat.
"Lima beranak suspek kita tahan di bawah Sosma selepas tempoh reman tamat hari ini. Apa yang disebut saya sebelum ini, di mana bapa dia (suspek) merupakan ahli Jemaah Islamiyah (JI).
"Itu memang betul, dalam data dan rekod kita ada," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.
Sosma membenarkan penahanan mana-mana suspek selama 28 hari tanpa perbicaraan.
Pada Rabu lalu, polis membebaskan dua pelajar yang ditahan sebelum ini berhubung insiden itu tanpa sebarang syarat.
Pelejar lelaki sebuah kolej swasta berusia 22 tahun dan pelajar wanita sebuah institusi latihan berusia 21 tahun itu dibebaskan setelah pihaknya mendapat arahan Pejabat Peguam Negara.
Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi 17 Mei lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
Sementara itu Koperal Mohd Hasif Roslan cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Penyerang terbabit maut ditembak dalam kejadian berkenaan.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#serangan Balai Polis Ulu Tiram #SOSMA #lima ahli keluarga #Jemaah Islamiyah
;