5,951 kompaun merokok bernilai RM1.47 juta dikeluarkan pada Jun - KKM

Bernama
Julai 20, 2024 10:15 MYT
Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 6,824 premis makanan telah diperiksa pada bulan lepas, dengan 189 premis diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 5,951 kompaun bernilai RM1.47 juta sepanjang Jun lepas atas kesalahan merokok, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
Beliau berkata sejumlah 13,163 notis kesalahan dikeluarkan daripada 25,924 premis yang dilawati melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 yang bertujuan mencegah dan mengawal penyakit demam denggi, Dr Muhammad Radzi berkata 3,218 kompaun bernilai RM1.6 juta telah dikeluarkan dengan purata RM500 bagi setiap kompaun.
"Sebanyak 606 kes telah didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama 64 kes telah disabitkan kesalahan dengan denda bernilai RM112,280," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 6,824 premis makanan telah diperiksa pada bulan lepas, dengan 189 premis diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
"Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai langkah bagi menjamin kebersihan premis serta makanan dihidangkan," katanya.
-- BERNAMA
#Muhammad Radzi Abu Hassan #kompaun merokok #denggi #Kementerian Kesihatan
;