5,867 petugas media bakal terima vaksin

Hilmi Malik
Mei 25, 2021 06:09 MYT
Menurut Khairy, 5,867 petugas media daripada 114 agensi media berdaftar bakal menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam masa terdekat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seramai 5,867 petugas media daripada 114 agensi media berdaftar bakal menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam masa terdekat, umum Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) untuk mengutamakan barisan hadapan termasuk guru dan pengamal media.
"Temu janji diberikan secepat mungkin selepas CITF menerima butiran mereka," kata beliau dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Kata Khairy, tindakan itu selari dengan usaha kerajaan dalam melindungi petugas barisan hadapan sekali gus mendahulukan guru dan pengamal media.
Sebelum ini, Khairy berkata, kerajaan bersetuju meletakkan pengamal media dalam senarai keutamaan menerima vaksin COVID-19, tertakluk kepada bekalan vaksin.
#vaksin #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Khairy Jamaluddin #Media