5,091 kes penipuan dalam talian direkod di Selangor tahun lepas - MB

Bernama
Februari 25, 2025 16:00 MYT
Amirudin berkata kebanyakan mangsa kes penipuan membabitkan individu yang telah bersara dan tidak berkerja sepenuh masa. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Sebanyak 5,091 kes penipuan dalam talian dengan kerugian RM386.4 juta direkodkan di Selangor pada 2024, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata walaupun kes yang direkodkan berkurangan 169 kes berbanding 5,260 pada 2023, jumlah kerugian adalah lebih tinggi untuk tempoh sama tahun lepas.
"Jumlah kerugian yang dicatatkan akibat penipuan dalam talian pada 2023 ialah RM292,093,647. Walaupun kes menurun pada tahun lepas kerugian direkodkan pula meningkat mencecah RM386,426,494.
"Ada perbezaan RM94 juta antara kedua-dua tahun tersebut," katanya menjawab pertanyaan lisan Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) yang ingin tahu jumlah kerugian dan kes jenayah melibatkan penipuan dalam talian di Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin berkata kebanyakan mangsa kes penipuan membabitkan individu yang telah bersara dan tidak berkerja sepenuh masa.
"Ini kerana mereka yang bekerja sepenuh masa sibuk dengan aktiviti harian dan scammer (penipu) ini (kebanyakan bekerja pada) waktu pejabat, bukan ikut waktu malam atau rehat," katanya.
Amirudin berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mempergiatkan usaha untuk menurun, menghenti serta menyekat paparan berunsur penipuan dalam talian.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sumber tenaga di Selangor kini sudah beralih daripada penggunaan arang batu kepada gas sekali gus membangunkan industri ke arah teknologi hijau.
Beliau berkata antara usaha dilakukan ialah pembinaan loji jana kuasa di Pulau Indah, Pelabuhan Klang dan loji sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram, Kuala Selangor selain stesen mini hidroelektrik di Batang Kali, Hulu Selangor.
Amirudin berkata kerajaan negeri menerusi anak syarikat Worldwide Holdings Berhad turut berjaya membida projek solar panel terapung berskala besar 300 megawatt di negara ini.
"Loji jana kuasa di Pulau Indah dimiliki Worldwide Holdings Berhad dengan pengeluaran tenaga 1,200 megawatt akan menghasilkan gas. Sekarang dalam proses percubaan dan akan berjalan pertengahan tahun ini atau selewatnya Ogos.
"Beberapa kawasan lain juga beralih malah kita juga laksanakan program guna sumber air untuk hasilkan tenaga seperti dua projek hidro di Batang Kali, Kerling," katanya menjawab pertanyaan tambahan Jefri Mejan (PN-Ijok) yang ingin tahu berkenaan projek teknologi hijau di Selangor.
-- BERNAMA
#kes penipuan #negeri Selangor #Amirudin Shari #Menteri Besar #terkini
;