5,000 wanita menangis diberhentikan kerja, siapa nak bela? - MTUC

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 10, 2017 18:18 MYT
Keputusan kerajaan mewujudkan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) tepat pada masanya. - Foto WEF.
"Apa yang paling teruk saya pernah hadapi adalah perhimpunan kira-kira 5,000 pekerja wanita di Bangunan Komtar Pulau Pinang dan menangis kerana tiada pembelaan selepas diberhentikan pada tahun 1997," itu pengakuan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor.
Lantas, beliau mencetuskan persoalan. Siapakah yang akan membela pekerja yang diberhentikan tanpa sebarang alasan kukuh mahu pun pampasan?
Abdul Halim menyifatkan keputusan kerajaan mewujudkan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) tepat pada masanya selain dinanti-nantikan MTUC, memandangkan setakat ini tiada pembelaan sewajarnya diberikan majikan apabila berlaku pembuangan pekerja.
"Sebelum ini kita telah cadangkan dalam tahun 1988 atau 1989 untuk mengutip 50 sen daripada setiap pihak, iaitu majikan dan pekerja, tapi cadangan itu ditolak.
"Kemudian kita minta supaya RM1 ditolak daripada gaji pekerja oleh majikan. Tapi majikan bagi alasan mesin atau sistem untuk menolak RM1 itu terlalu mahal," katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas majlis taklimat media pelaksanaan SIP di ibu negara hari ini.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Dr Mohammed Azmin Aziz Mohammed berkata, SIP akan menjadi jaminan untuk memastikan kelangsungan hidup seseorang pekerja itu selepas diberhentikan.
"SIP ini juga akan memastikan bahawa akan ada makanan di atas pinggan mereka yang diberhentikan. Ini adalah antara komitmen utama kita dalam memastikan pembelaan sewajarnya kepada para pekerja," ujarnya ketika membentangkan pelan pelaksanaan SIP.
Malah, beliau turut bersetuju bahawa Revolusi Industri Keempat dan ekonomi digital akan menyebabkan pengurangan dan pemberhentian pekerja berlaku dalam skala lebih besar.
Katanya, SIP juga akan menjadi keyakinan kepada pekerja yang melakukan kerja-kerja tidak formal atau separa formal untuk terus bekerja.
"Jika tiada perlindungan sewajarnya, mungkin esok dia diberhentikan... macam mana hendak ada wang untuk menampung hidup," katanya.
Katanya, sehingga kini terdapat tunggakan sekitar RM650 juta pampasan terkumpul pekerja dalam tempoh 20 hingga 30 tahun yang masih tidak bebayar.
"Kita menegaskan bahawa SIP ini bukan faedah kedua kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebaliknya ia adalah satu perlindungan yang menggunakan risk pooling," katanya.
Pelaksanaan SIP yang menjadi jaringan keselamatan sosial akan dibiayai melalui caruman daripada pekerja dan majikan. Dana SIP itu akan ditadbir urus oleh Perkeso.
SIP akan memberi perlindungan kepada semua pekerja swasta di negara ini dengan caruman minima RM1.90 sen sebulan bagi gaji RM1,000 manakala RM7.90 bagi gaji RM4000 dan ke atas.
Caruman berjumlah 0.4 peratus daripada jumlah gaji tersebut meliputi 0.2 peratus caruman pekerja manakala 0.2 peratus lagi caruman majikan.
Tempoh matang bagi caruman tersebut adalah 12 bulan selepas caruman dibuat di mana pekerja akan menerima antara 80 hingga 30 peratus elaun daripada jumlah gaji asal dalam tempoh enam bulan selepas diberhentikan.
Malah, 25 peratus daripada baki elaun akan diberikan kepada pekerja yang berjaya mendapatkan kerja dalam tempoh 6 bulan daripada pemberhentian.
Selain itu, terdapat juga elaun latihan, yuran latihan serta bantuan untuk mendapatkan kerja baharu.
Mengikut rekod, Malaysia merupakan negara terendah dalam kutipan caruman SIP berbanding Thailand, 1.25 peratus dan Vietnam tiga peratus.
Jika dibandingkan dengan Faedah Penamatan dan Pemberhentian Kerja, ia akan mengambil kira gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.
#abdul halim mansor #dibuang kerja #KWSP #Mohammed Azmin Aziz Mohammed #MTUC #perkeso #Skim Insurans Pekerjaan
;