5,000 peserta meriahkan Keretapi Sarong 2022 di ibu negara
Afiq Ariffin
September 16, 2022 15:11 MYT
September 16, 2022 15:11 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun penganjurannya ditunda dek pandemik COVID-19, kali ini program Keretapi Sarong 2022 kembali menyemarakkan sambutan Hari Malaysia di ibu negara pada Jumaat.
Bertemakan 'Retro Kuala Lumpur', dianggarkan seramai 5,000 peserta hadir memeriahkan hari bersejarah negara, dengan rata-rata peserta segak memakai kain sarung.
Program yang sudah memasuki edisi keempat ini bermatlamat untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon di bandar raya.
Selain itu, ia turut bertujuan mempromosikan pemakaian kain sarung dan mendidik orang ramai mengenai sejarah serta rahsia kain sarung.
Bagi peserta dan pempengaruh digital, Mohd Nasrul Faiz Abu Azal, dia merasakan program seperti ini berjaya menyemai semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda.
"Sangat-sangat mengagumkan, sebab saya datang dari Bandar Utama dan dari sana hingga ke sini para peserta tidak henti-henti melaungkan ‘Merdeka’ dan semangat patriotik itu sememangnya dapat dirasakanlah,” katanya kepada Astro AWANI semasa menyertai program itu di sini.
Malah, dia yang dikenali dengan nama Faizdickie, mengakui sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia pada tahun ini terasa lebih istimewa terutamanya selepas dua tahun rakyat ‘'terkurung’ susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.
"Selain daripada kita rasa semangat kemerdekaan negara, kita juga dapat rasa merdeka daripada pandemik COVID-19.
“Macam sekarang ini, pelitup muka tidak lagi diwajibkan dan saya rasa itu Merdeka yang ‘kecil’ bagi kami," ujarnya.
Seorang lagi peserta, Iman Najwa Mohd Arfah pula teruja melihat rakyat Malaysia dengan bangga menyarungkan kain sarung dan berpakaian tradisi.
Jelasnya, ia membuktikan bahawa golongan muda masih lagi menghargai warisan tekstil negara dan mahu mengekalkan legasi itu untuk generasi akan datang.
"Tengoklah sendiri, semua orang memakai pakaian tradisi, menyarungkan kain sarung dan hadir ke sini dengan pelbagai jenis busana ke program ini.
“Saya rasa tahun ini lagi meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini, saya rasa penganjuran program ini sangat baik sebagai peringatan tentang kemerdekaan dan anda boleh lihat sendiri bagaimana rakyat Malaysia sehati sejiwa meraikan Hari Malaysia," katanya.
Kongsi Nur Syazwani Abdul Rashid pula, dia teruja untuk menyertai program dengan tema Retro Kuala Lumpur yang sedikit sebanyak mampu mengimbau kembali nostalgia.
Tambahnya lagi, biarpun dia ke program tersebut seorang diri, dia tidak berasa keseorangan.
"Ini kali pertama saya menyertai program ini. Saya bertolak dari Stesen Subang Jaya sejak jam 8 pagi dan apa yang saya boleh katakan adalah ia sangat meriah dan semua orang sangat ramah," katanya.
Program Keretapi Sarong kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan Malaysian Fusion, tarian joget lambak serta penyampaian hadiah bagi busana terbaik.
Program Keretapi Sarong mula diperkenalkan pada tahun 2012 dan merupakan program kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) LOCCO.
Inisiatif tersebut dapat membantu mempromosikan sarung Malaysia sebagai salah satu elemen kebudayaan unik Malaysia melalui gimik dan flash mob atau persembahan kilat berkumpulan tersebut.
Ia membabitkan ribuan peserta menaiki pengangkutan awam dengan memakai kain sarung sama ada batik atau pelekat yang menjadi simbol kebudayaan dan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Pada tahun ini, Keretapi Sarong 2022 mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pengangkutan.
Turut terlibat agensi seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Prasarana Berhad, MRT Corporation, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan Malaysia Airports Holdings Berhad.