485 tandas rumah ibadat dinaik taraf babitkan nilai RM10 juta
Bernama
Mac 6, 2022 19:20 MYT
Mac 6, 2022 19:20 MYT
KOTA BHARU: Sebanyak 485 fasiliti tandas di rumah ibadat pelbagai agama di Semenanjung Malaysia dinaik taraf dan dibaiki sejak April tahun lalu membabitkan peruntukan bernilai RM10 juta.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan itu melalui dana Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (KWSMP) yang diuruskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) selaku pelaksana.
Katanya, sehingga Februari lalu sebanyak 407 tandas atau 84 peratus kerja naik taraf dan penambahbaikan telah siap dilaksanakan, manakala 12 peratus lagi dijangka siap sepenuhnya pada Mei depan.
"Inisiatif menaik taraf berkenaan bagi memastikan sistem pembentungan di rumah ibadat lebih mesra alam dengan penggunaan produk cekap air serta pengurusan sistem kumbahan yang lebih teratur dan efisien.
"Secara purata ia membabitkan kos perbelanjaan sekitar 20,000 hingga 30,000 bagi menaik taraf sebuah tandas di rumah ibadat bergantung kepada saiz yang secara asasnya kami membaiki tangki septik dan kemudahan lain," katanya.
Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan projek menambah baik fasiliti tandas di rumah ibadat di Madrasah Haji Junoh, Kampung Paya Keranji di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata melihat kepada kejayaan projek berkenaan, KWSMP menerusi SPAN turut bercadang untuk memperuntukkan sekitar RM20 juta lagi bagi fasa kedua projek ini untuk diperluaskan ke rumah-rumah ibadat di seluruh negara.
"Kami tengok projek ini berjaya... jadi kami akan teruskan projek ini dan fasa kedua dijangka bermula selepas Mei nanti dengan anggaran dua kali ganda jumlah rumah ibadat yang terlibat dan dijangka siap pada 2023 atau 2024," katanya.
Beliau berkata projek inisiatif kerajaan itu juga secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada kontraktor tempatan yang berkelayakan.
Katanya, kontraktor yang dilantik menerusi projek berkenaan bagi fasa pertama membabitkan seramai 485 kontraktor tempatan bagi melaksanakan projek ini adalah terdiri daripada mereka yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Binaan dan pemegang permit C4 yang berdaftar dengan SPAN.
"Ia adalah usaha kerajaan dalam membantu dan menyantuni rakyat tanpa mengira agama, meningkatkan ekonomi setempat selaras dengan Pelan Pemulihan Negara dan dasar penyayang Keluarga Malaysia," katanya.
-- BERNAMA