483 laporan polis dibuat berhubung kenyataan hina Nabi Muhammad

Bernama
Julai 26, 2019 05:00 MYT
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang komen yang menyentuh sensitiviti agama atau kaum, di mana-mana jua platform atau rangkaian komunikasi.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 483 laporan polis setakat Jumaat berhubung kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh pemilik akaun Wendy Loong di laman sosial Facebook.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad berkata kenyataan berbentuk penghinaan dibuat pemilik akaun itu di laman Facebook, yang dianggotai kumpulan tertutup.
"Pihak polis mendapati posting (hantaran) yang dibuat oleh Wendy Loong telah dipadam dan polis telah memohon kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti serta menjejaki pemilik akaun Wendy Loong untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang komen yang menyentuh sensitiviti agama atau kaum, di mana-mana jua platform atau rangkaian komunikasi.
"Suka diingatkan, sebagai warga Malaysia, setiap daripada kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk terus mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara ini," katanya.
-- BERNAMA
#Asmawati Ahmad #Facebook #kaum #komen #kumpulan tertutup #laporan polis #menghina Nabi #Nabi Muhammad #polis #Polis Diraja Malaysia #rangkaian komunikasi #sensitiviti agama #SKMM #Wendy Loong
;