48 wanita warga asing mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan
Astro Awani
Disember 17, 2015 11:18 MYT
Disember 17, 2015 11:18 MYT
Jabatan Imigresen Pulau Pinang berjaya menyelamatkan 48 wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa jenayah pemerdagangan manusia dalam satu serbuan awal pagi Khamis.
Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Hassan berkata, serbuan di lakukan di sebuah premis hiburan di Perai, kira-kira jam 12.50 pagi Khamis susulan maklumat awam.
Kata beliau, dalam serbuan itu, yang turut mendapat kerjasama Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dari Ibupejabat Imigresen Putrajaya, mereka telah menyelamatkan mangsa yang terdiri daripada 19 wanita warganegara China dan 29 wanita Vietnam.
Kata Abdul Rahman, hasil siasatan mendapati kesemua mangsa yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
"Semua wanita warga asing itu, dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran sebelum dipaksa bekerja sebagai pelayan pelanggan di pusat hiburan berkenaan.
"Mereka dibawa masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan tidak memiliki dokumen perjalanan lain termasuk permit bekerja," katanya.
Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti tempoh masa mereka telah berada di negara ini.
Kes kini disiasat menurut Akta ATIPSOM 2007.