48 tukun tiruan galak pembiakan ikan

Nur Fazlizai Ali
Mei 28, 2022 05:45 MYT
Jumlah pendaratan ikan oleh nelayan pantai dilihat meningkat antara lima ke 10 peratus berbanding sebelum ini. - Astro AWANI
PULAU REDANG: Inisiatif kerajaan negeri membina dan meletakkan tukun tiruan di perairan Terengganu berjaya meningkatkan populasi hidupan marin selain turut menjana pendapatan nelayan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Terengganu, Azman Ibrahim berkata, sejak program itu dilaksanakan pada tahun 2006, jumlah pendaratan ikan oleh nelayan pantai dilihat meningkat antara lima ke 10 peratus berbanding sebelum ini.
Menurut Azman, peningkatan itu diharap mampu menampung permintaan dan keperluan sumber protein yang sentiasa bertambah setiap masa.
"Saya lihat daripada bulan sembilan, bulan sepuluh tahun lepas lagi nelayan-nelayan kita memberikan respon yang sangat positif.
"Banyak bot nelayan balik dengan hasil tangkapan yang banyak, mungkin melebihi tiga ataupun empat tan untuk setiap bot," katanya.
Jelas Azman, bagi mengekalkan kelestarian sumber perikanan itu, pelbagai langkah telah diambil termasuk program pemuliharaan yang dijalankan secara berterusan.
Azman berkata pada tahun lalu sebanyak 48 buah tukun dilabuhkan di seluruh negeri dan kira-kira 24 buah tukun lagi akan ditenggelamkan pada tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Reef and Beach Clean-Up di Pulau Redang pada Sabtu.
#Tukun Tiruan #populasi hidupan marin #nelayan #Azman Ibrahim
;