48 kes tangkapan ular dicatat untuk lima bulan pertama
Bernama
Jun 1, 2017 12:14 MYT
Jun 1, 2017 12:14 MYT
Sebanyak 48 laporan membabitkan kes tangkapan ular diterima Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Bagan Datuk sepanjang Januari hingga Mei ini.
Pegawai APM Bagan Datuk Leftenan Mohd Zaidi Ahmad berkata ia menunjukkan penurunan lima kes berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu 43 kes.
"April merekodkan tangkapan ular tertinggi iaitu 15 kes, manakala hingga penghujung Mei, 10 kes direkodkan termasuk tiga tangkapan ular sawa berukuran tiga hingga lima meter selama tiga hari berturut-turut pada 20, 21 dan 22 Mei.
"Kebanyakan kes tangkapan kita buat di kawasan kediaman kampung yang bersemak. Ular tedung hitam, ular senduk dan ular rusuk kerbau adalah paling banyak ditangkap," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Selain itu, bagi Januari dan Februari, masing-masing mencatatkan tujuh kes tangkapan ular dan sembilan kes pada Mac.
"Kita percaya, April kes tangkapan ular paling banyak kerana faktor cuaca yang sering hujan. Ular akan mencari tempat perlindungan di kawasan perumahan kerana habitatnya ditenggelami air," katanya.
Mohd Zaidi berkata, kesedaran orang ramai mengenai tugas APM dalam membantu menangkap ular di persekitaran mereka turut mempengaruhi peningkatan laporan kes sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup semua lubang yang mungkin memberi ruang kepada ular masuk ke dalam rumah.
Beliau berkata selain membersihkan semak-samun di sekeliling rumah, orang ramai juga diingatkan tidak sesekali mengambil tindakan merisikokan diri dan anggota keluarga jika terjumpa haiwan itu di dalam rumah.
-- BERNAMA