48 individu ditahan ceroboh kebun Musang King atas tanah kerajaan

Bernama
Ogos 6, 2024 11:30 MYT
Semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 67 tahun itu melibatkan 24 warga tempatan dan Orang Asli serta 24 pekerja warga asing iaitu 12 warga Indonesia, Myanmar (7), Bangladesh (2) serta tiga warga Nepal. - Gambar hiasan
KUANTAN: Seramai 48 pekebun dan pekerja kebun durian Musang King di daerah Raub yang dikesan menceroboh tanah kerajaan dan melanggar arahan mahkamah ditahan sepanjang 'Ops Sekat' rmula 30 April lalu sehingga hari ini.
Ketua Polis Pahang Datuk seri Yahya Othman berkata kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 67 tahun itu melibatkan 24 warga tempatan dan Orang Asli serta 24 pekerja warga asing iaitu 12 warga Indonesia, Myanmar (7), Bangladesh (2) serta tiga warga Nepal.
Katanya tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh tanah kerajaan selain dirujuk dan disiasat oleh agensi lain seperti Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Pejabat Hutan daerah berkenaan.
Beliau berkata demikian kepada media ketika mengulas tangkapan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing menceroboh tanah milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) untuk memungut hasil durian pada Jumaat lepas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
"Operasi akan diteruskan untuk mengelakkan mereka daripada terus menceroboh. Nampaknya musim buah mereka mula ambil tindakan sendiri untuk masuk. Kita menguatkuasakan perintah mahkamah untuk melarang sebab mahkamah telah mengesahkan tanah itu milik kerajaan negeri," katanya.
Kesemua tangkapan baharu itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub untuk siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis setelah proses dokumentasi selesai.
Pada Julai lepas, seramai 131 pekebun durian Musang King dari Raub gagal dalam usaha untuk mendapatkan kebenaran mengakses kebun durian yang diusahakan mereka sementara menunggu keputusan rayuan terhadap perintah pengusiran.
Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan pekebun itu untuk mengubah perintah hakim yang tidak membenarkan mereka memasuki kebun bagi menyelenggara dan mengusahakan pokok durian mereka.
-- BERNAMA
#kebun musang king #kes mahkamah #tangkapan polis #ceroboh