48 hospital usia lebih 50 tahun jalani audit keselamatan - Subramaniam
Bernama
Oktober 28, 2016 20:48 MYT
Oktober 28, 2016 20:48 MYT
Sebanyak 48 hospital berusia lebih 50 tahun di seluruh negara akan menjalani proses audit keselamatan dalam masa satu hingga dua minggu dari sekarang, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Antara hospital berusia lebih 50 tahun dan sedang beroperasi pada masa ini ialah Hospital Batu Gajah yang berusia 136 tahun, Hospital Balik Pulau (136), Hospital Pulau Pinang (81) dan Hospital Perlis (97), katanya.
Menurut Dr Subramaniam, Mesyuarat Kabinet hari ini membincangkan insiden Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dan salah satu perkara yang dibincangkan ialah berkaitan penyelenggaraan dan tahap keselamatan di bangunan-bangunan lama kerajaan.
"Jemaah menteri bersetuju supaya JKR (Jabatan Kerja Raya), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi yang lain berbincang dan berkongsi pandangan mengenai langkah yang boleh dibuat bagi menjamin keselamatan bangunan lama," katanya kepada media di kementeriannya di sini hari ini.
Menurut Dr Subramaniam, bagi hospital pihak JKR dan JBPM akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan manakala bagi bangunan sekolah pula perbincangan akan melibatkan Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata bangunan baharu mematuhi Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 di bawah seliaan Kementerian Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar serta Akta Bomba.
"Bangunan lama tidak dapat memiliki sijil kelayakan menduduki kerana dokumen dan pelan bangunannya sudah tidak ada memandangkan kebanyakan dibina ketika zaman British.
"Oleh itu agensi seperti JKR dan JBPM akan memberikan pandangan dan nasihat dari semasa ke semasa mengenai tahap keselamatan bangunan lama tersebut," katanya lagi.
Dr Subramaniam berkata jika pihak JBPM mendapati mana-mana bangunan hospital lama sudah tidak selamat untuk digunakan maka ia tidak akan digunakan lagi.
Ditanya mengenai laporan berhubung kebakaran di HSA yang mengorbankan enam nyawa Selasa lepas, Dr Subramaniam menjelaskan laporannya yang akan siap dalam masa satu hingga dua minggu itu akan dibentang kepada Kabinet. -- BERNAMA
#audit keselamatan
#Datuk Seri Dr S. Subramaniam
#Hospital
#Hospital Sultanah Aminah
#lebih 50 tahun
#mesyuarat Kabinet
#penyelenggaraan