473 peserta konvoi ke Pulau Langkawi disaman
Adie Sufian Zulkefli
Disember 31, 2021 13:31 MYT
Disember 31, 2021 13:31 MYT
LANGKAWI: Hasrat mereka memasuki Pulau Langkawi untuk menyertai konvoi bermotosikal sempena sambutan tahun baharu, sudahnya mereka disambut dengan saman.
Mereka adalah antara penunggang motosikal yang ditahan kerana pelbagai kesalahan dalam satu operasi yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata sejumlah 473 saman dikeluarkan pihaknya ke atas penunggang motosikal terbabit ketika mereka tiba di Dermaga Tanjung Lembung.
Selain itu Shariman Ashari berkata keseluruhannya sebanyak 1,200 motosikal diperiksa oleh anggota PDRM dan JPJ dalam satu operasi itu.
"Mereka tiba menerusi tiga perkhidmatan feri penumpang dan kenderaan dari Kuala Perlis di Jeti Tanjung Lembung di sini iaitu pada 5 petang, diikuti jam 9 dan 11 malam tadi.
"Hasil pemeriksaan, sebanyak 473 motosikal disaman PDRM membabitkan 606 pelbagai kesalahan trafik dengan majoriti tiada nombor pendaftaran dan cermin sisi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Shariman berkata, pada operasi sama, JPJ turut mengeluarkan 104 notis atas pelbagai kesalahan dan menyita sebuah motosikal.
"Rata-rata penunggang terbabit dilaporkan datang dari Lembah Klang, Terengganu, Kelantan dan Johor.
"Sebuah motosikal bukan sahaja tiada nombor pendaftaran, malah digantikan dengan tulisan 'Langkawi Attack #JB_MARI'," katanya.
Beliau berkata, kesemua penunggang telah diberi peringatan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya sepanjang berada di pulau ini.
Sejak awal malam tadi, tular beberapa klip video memaparkan keterujaan sekumpulan penunggang motosikal yang berkonvoi dipercayai untuk menyambut tahun baharu di pulau ini yang terbantut selepas mereka terpaksa menjalani pemeriksaan polis trafik sejurus tiba di Dermaga Tanjung Lembung di sini.